Naib Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mahdzir (dua dari kiri) selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Dewan Badlishah, Kolej MARA. FOTO Amran Hamid
Naib Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mahdzir (dua dari kiri) selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Dewan Badlishah, Kolej MARA. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Nerang: Kaunselor sekolah boleh memainkan peranan dalam mengenal pasti pelajar bermasalah termasuk mereka yang mengalami masalah mental.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kaunselor yang ditugaskan di sekolah ini mempunyai akses kepada pangkalan data mengenai maklumat pelajar termasuk mereka yang mempunyai masalah.

Menurutnya, kaunselor boleh memainkan peranan kenalpasti pelajar yang ada masalah mental tetapi kalau yang teruk sangat kena rujuk pakar psikiatri.

"Kita (kementerian) akan meneliti kesahihan laporan berkaitan pelajar mental bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jumlah pelajar serta sekolah yang terbabit dalam gejala penyakit berkenaan.

"Kita ada lima juta pelajar dan jika sampel rambang pelajar hanya 1,000 orang, maka kajian itu tidak tepat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan daripada Persatuan Ibu-Bapa dan Guru Nasional (PIBG) supaya adanya lawatan daripada pakar psikiatri secara berkala ke sekolah dalam mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah mental.

Sebelum ini, media mendedahkan hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah kendalian Kementerian Kesihatan bahawa dua daripada 10 pelajar sekolah dikesan mengalami gejala penyakit mental kronik yang memungkinkan terbabit dalam jenayah dan gangguan kepada orang lain.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 6:25 PM