ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat mangsa dari Sungai Peria. FOTO ihsan Polis
ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat mangsa dari Sungai Peria. FOTO ihsan Polis
Muhammad Apendy Issahak


Kampar: Mayat lelaki Orang Asli ditemui dalam Sungai Peria di sini, pagi tadi dipercayai terbabit kemalangan pada 27 Ogos lalu.

Mangsa Akong Husin, 62, ditemui bersama motosikal di dalam sungai berkenaan oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 11.20 pagi dan siasatan yang dijalankan mendapati mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, Sabtu lalu.

"Kami terima maklumat mengenai satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Dipang-Chenderiang di sini yang membabitkan motosikal.

"Siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan hilang bersangkut laporan Balai Polis Kuala Dipang di sini dan kemalangan dipercayai berlaku pada 27 Ogos lalu kira-kira 4 petang ketika mangsa menunggang dari Sungai Siput Selatan menghala ke Pos Dipang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan dan melanggar tembok sebelum terjatuh ke dalam Sungai Peria," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 6:40 PM