ADAM
ADAM

Kuala Lumpur: Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan pada musim sulungnya, pelumba Moto3 negara dari pasukan SIC Racing Team Adam Norrodin boleh menarik nafas lega apabila disahkan akan meneruskan saingan di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali yang mendedahkan perkara itu berkata, meskipun pencapaian Adam pada musim pertamanya tidaklah begitu cemerlang, namun beliau mempunyai sebab mengapa perlu memberi peluang kepada Adam musim depan.

“Kami tidak boleh meletak seseorang pelumba itu untuk satu musim saja terutamanya apabila pelumba itu berstatus rookie.

“Dengan perbelanjaan serta pelaburan yang sudah lama diberikan kepada Adam, jadi kami bertanggungjawab untuk terus membentuk kariernya.

“Masa perlu diberikan kepadanya. Dia akan terus berlumba dengan SIC Racing Team tahun depan.

“Apapun secara peribadi, saya tetap berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini,” katanya.

Namun dengan pengesahan itu, Razlan berkata, Adam tidak boleh berasa terlalu selesa.

“Tidak bermaksud dia boleh rasa selesa. Saya sering beritahu kepadanya sasaran utamanya adalah cuba bersaing dengan rakan senegara Khairul Idham (Pawi).

“Sebab seperti yang saya katakan sebelum ini, Khairul sudah meletakkan satu standard yang tinggi dan Adam perlu cuba menyamai standard itu,” katanya merujuk kepada Khairul dari pasukan Honda Team Asia yang sudah memenangi dua perlumbaan.

Selepas 12 pusingan, Adam gagal menamatkan perlumbaan lima daripadanya dan mengumpul lima mata hasil penamat terbaik tempat ke-11 di Grand Prix (GP) Argentina.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Adam mengakui tidak terlepas daripada melakukan kesilapan selain turut mengaku pada akhirnya keputusan di setiap perlumbaan akan menjadi penilaian utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 9:43 AM