Rome: Juventus menewaskan Lazio 1-0 semalam dalam perlawanan Serie A yang ditujukan khas buat mangsa gempa bumi di tengah Itali.

Peminat memegang pemidang sebagai tanda berkabung ke atas 300 rakyat negara itu yang terkorban pada kejadian Rabu lalu dan mereka bertafakur seminit sebelum sepak mula.

Selain itu ada di antara mereka menyarung kemeja Lazio yang tertera tulisan “Noi con voi” - “Kami bersamamu” - termasuk imej menara jam di Amatrice yang terhenti pada jam 3.36 pagi ketika gempa bumi itu berlaku.

Amatrice dan beberapa bandar lain terjejas terletak di kawasan Lazio.

Pada minit ke-66, Sami Khedira (gambar) menerima hantaran Paulo Dybala dan sepakannya tepat menuju ke gawang lawan ketika pertahanan Lazio dilihat terganggu dengan kehadiran Gonzalo Higuain yang menjaringkan gol seminit sebelum itu.

Khedira turut menjaringkan gol pada perlawanan pertama Juve dengan kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina hujung minggu lalu.

“Bukan mudah bermain dalam cuaca hangat berdepan Lazio yang bermain secara tersusun,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.

“Pada separuh masa pertama mereka menutup semua ruang tetapi pada separuh masa kedua kami bermain dengan baik. Kami bermula dengan baik berbanding tahun lalu.”

Juventus tewas dalam dua perlawanan pertama musim lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 11:30 AM