Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak cukup masa, penat bekerja dan sampai rumah lewat antara alasan lazim ibu bapa kini yang lebih selesa membeli makanan di gerai atau restoran untuk disajikan kepada anak-anak.

Selain itu kehadiran gerai dan restoran di setiap ceruk malah ada yang beroperasi 24 jam menjadi antara faktor lain yang membuatkan fungsi dapur di rumah semakin kecil. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada dapur yang hanya berasap pada hujung minggu saja.

Membeli makanan atau makan di luar sama ada gerai atau restoran memang memudahkan kerja ibu bapa. Namun ramai tidak sedar bahawa keenakan rasa tidak sepatutnya dijadikan faktor utama dalam pemilihan makanan anak-anak kerana apa yang lebih penting ialah khasiatnya.

Kekerapan menjamu selera di luar ini sering kali menjadi punca kepada masalah lebihan berat badan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak mahupun ibu bapa.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, tidak dapat dinafikan kebanyakan wanita yang bergelar ibu dan isteri kini sentiasa sibuk melakukan kerja di luar rumah dan terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Menurutnya, disebabkan terpaksa mengejar masa, ibu moden tidak dapat me­nyediakan hidangan untuk keluarga dan paling mudah ialah membeli makanan di kedai makan atau restoran.

"Ini antara sebab me­ngapa ramai amat sukar hendak mengamalkan pemakanan seimbang kerana hidangan keluarga dimasak oleh orang lain. Senario ini pastinya membimbang­kan kerana ia mengundang pelbagai risiko pada seisi keluarga. Kita tidak tahu tahap kebersihan ketika penyediaan dan bahan yang digunakan dalam masakan," katanya.

Menurut Dr Zubaidi, antara penyakit utama yang mungkin akan dihidapi adalah lebihan kolesterol, berat badan tidak terkawal yang menjadi punca pelbagai jenis penyakit lain antaranya serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis.

"Selain itu, keracunan makanan adalah antara masalah yang paling kerap berlaku di seluruh dunia kerana penyediaan makanan tidak dilakukan dalam keadaan yang bersih. Jangan ambil mudah perkara ini kerana keracunan makanan boleh membawa maut khususnya pada kanak-kanak.

"Disebabkan itu, senario mengambil jalan mudah dengan membeli makanan atau makan di gerai mahupun restoran ini perlu dielakkan dan tidak dijadikan kebiasaan demi kebaikan anda seisi keluarga," katanya.

Ujarnya, menurut pemerhatiannya kebanyakan ibu bekerja sebenarnya terikat pada menu masakan asli Melayu yang biasanya mengambil masa lama untuk disediakan.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah cuba membiasakan anak untuk menikmati makanan yang berkhasiat dan seimbang walaupun ia bukannya masakan Melayu.

"Sebagai ibu, anda perlu tahu mengenai pemakanan berkhasiat dan berusaha mencari masa untuk me­nyediakannya," katanya.

Dr Zubaidi berkata, pemakanan yang seimbang perlu mengandungi empat kumpulan utama iaitu karbohidrat, protein, lemak dan serat selain minum air secukupnya.

"Pergerakan fizikal seperti beriadah akan meningkatkan kesihatan seisi keluarga. Untuk ibu bapa, ada cara mudah untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang iaitu dengan membahagikan pinggan kepada empat bahagian.

"Satu bahagian untuk nasi, satu bahagian untuk protein iaitu ayam, ikan atau daging dan dua bahagian untuk sayur-sayuran, di samping segelas susu dan buah-buahan," ujarnya.

Menurutnya, bagi sayur-sayuran ia boleh ditumis sebentar bersama bawah putih dan bawang merah atau dijadikan ulam (dimakan mentah) selepas dibersihkan.

"Bagi sumber protein pula, boleh pilih ikan, daging merah, telur atau ayam secara bergilir-gilir sama ada dengan menggoreng, direneh atau direbus untuk dijadikan sup.

"Sebagai contoh, hidangan malam terdiri daripada nasi putih bersama ikan goreng atau sup ayam dan daging yang ringkas, sayur kobis yang ditumis dan buah-buahan seperti pisang atau jambu batu dan segelas susu atau air mineral," katanya.

Tambahnya, cuba elakkan daripada masakan yang berat seperti kuah pedas, berlemak dan berminyak waktu malam bagi memberi keseimbangan pada diet harian selain tidak memerlukan masa yang lama untuk memasak.

"Apa yang penting si ibu tidak perlu menyediakan hidangan yang rumit pada hari yang sibuk. Hidangan ringkas sudah memadai asalkan ia mengandu­ngi semua khasiat diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM