PAMERAN Orang Malaysia ketengah potret rakyat pelbagai kaum.
PAMERAN Orang Malaysia ketengah potret rakyat pelbagai kaum.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Sebanyak 61 gambar potret masyarakat pelbagai kaum di negara ini dipamerkan pada Pameran Orang Malaysia di Galeri Seni Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 sehingga 17 September depan.

Pameran memaparkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbeza etnik, kumpulan umur dan kerjaya.

Gambar berkenaan hasil karya 33 jurugambar dari seluruh negara.

Mengetengahkan tema ‘Orang Malaysia’, pelbagai variasi potret diketengahkan antaranya potret studio, potret konsep (conceptual) serta potret alam sekitar (environmental).

Antara jurugambar terbabit ialah Adiputra Zuhri, Agoes Alwi, Arif Kaser, Azli Wahab, Dallah Deen, Didiz Rusdi, Eddie Putra, Ismail Mamat, Izwan Ismail, Jeffri Jaffar, Jon Ramlan, Joseph Cheung, Mohd Irman dan Mohd Rizalis Rizal.

Turut serta Mohd Syahrin, Meng Keat, Khairur Rijal Pauzi, KL Yeam, Lokman Nahari, Nazri Sulaiman, Nick Ng, Rafiza Rahman, Razz Rozzfaizal, Rita Aziz, Ruzely Abdullah, Salliza Salleh, Syadan Ginu, Ted Adnan, Tony Mdy, Yaman Ibrahim, Yong Hairul Azizi, Yusaidie Ibrahim dan Zuhri Iskandar.

Semua potret yang diketengahkan ada kekuatan tersendiri, namun penulis tertarik dengan potret seorang komando bersut lengkap payung terjun yang dirakam Salliza, 44.

Menurutnya, gambar itu dirakam sewaktu dia menyertai aktiviti paramotor di Padang Tekah, Assam Kumbang, Taiping, yang kebetulan sama lokasi dengan kumpulan komando berkenaan menjalani latihan payung terjun.

“Saya membawa kamera ke mana-mana saja dan gambar komando itu dirakam ketika saya terbang menggunakan paramotor.

“Aktiviti mengambil gambar adalah hobi yang sudah wujud sejak zaman sekolah, namun saya tumpukan secara serius sejak 2012 berikutan kewujudan kamera digital,” katanya.

Bagi Salliza, aktiviti mengambil gambar dilakukan bukan sekadar mengisi masa terluang, malah dapat melepaskan tekanan.

“Saya suka ambil gambar kerana ia dapat membebaskan diri daripada tekanan. Ini kerana ketika me­ngambil gambar, saya jadi lebih fokus dan secara tidak langsung dapat melupakan seketika segala masalah,” katanya.

Sementara itu, gambar potret penyanyi, Mohd Shukri Shahabudin atau lebih dikenali dengan Datuk Hattan memegang gitar turut mempunyai kekuatan tersendiri.

Rafiza, 40, merakamkan potret itu di rumah Hattan yang dipilih kerana menggambarkan orang Malaysia.

“Saya pilih Hattan kerana dia mempunyai personaliti yang kuat, selain sudah lama berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.

Rafiza mula meminati kamera sejak dua tahun lalu selepas mengikuti satu kumpulan mengembara dan mempelajari teknik merakam gambar.

Pameran dibuka kepada orang ramai sehingga 17 September dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:29 AM