SATU set roti unyil didatangkan dengan 12 roti dan enam inti berbeza.
SATU set roti unyil didatangkan dengan 12 roti dan enam inti berbeza.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Walaupun namanya kedengaran pelik, rupa serta rasanya tidak seaneh disangka.

Nama roti unyil tidak asing lagi di Indonesia dan dikatakan berasal dari Bogor. Unyil yang bermaksud kecil atau comel sesuai dengan saiz dan rupa roti itu sendiri yang sebesar saiz satu suapan.

Penulis sempat merasai sendiri kelazatan roti itu ketika berkunjung ke Roti Talk Bakery Cafe (Roti Talk) di Johor Bahru.

Mempunyai kelainan tersendiri, roti unyil agak unik kerana ia bukan saja lembut, malah teksturnya tidak berubah walaupun disimpan beberapa hari.

Roti Talk dimiliki Sharifah Ahmad dan Rohaida Ibrahim.

Sharifah berkata, rasa dan tekstur roti unyil istimewa kerana proses penghasilan serta bahan digunakan berlainan dengan roti lain.

“Resipi roti unyil dari Bogor ini istimewa dan kami ke sana untuk belajar menghasilkannya.

“Berbeza dengan roti lain yang pernah kami hasilkan, roti unyil mempunyai bahan ‘rahsia’ serta proses yang sedikit berbeza menjadikannya bukan saja lazat malah ‘ketagih’,” katanya.

Katanya, roti unyil yang sukar didapati di Malaysia menjadikan Roti Talk menjadi tumpuan khususnya untuk mendapatkan menu berkenaan selain bersantai dan mencuba menu lain.

“Setakat ini, rata-rata pengunjung tidak pernah mencuba menu ini dan pertama kali mencuba ramai datang semula untuk dapatkan roti itu,” katanya.

Walaupun selepas beberapa hari dihasilkan, tekstur roti unyil tidak keras malah bertambah lembut.

“Roti unyil boleh disimpan hingga tujuh hari dalam suhu bilik dan hampir dua minggu jika disimpan di dalam peti sejuk.

“Selepas mencuba sendiri dan menerima maklum balas daripada pelanggan, makin lama ia disimpan makin lembut tekstur roti itu,” katanya.

Menawarkan pelbagai jenis inti, Roti Talk menukar inti setiap hari bagi memastikan pelanggan tidak bosan selain memberi variasi kepada mereka.

Saiznya yang kecil turut menjadi kegemaran kanak-kanak. Antara inti yang menjadi kegemaran ialah krim kastard.

Satu set roti unyil ada 12 biji dengan enam inti berbeza, namun bagi mereka yang inginkan inti sama, Roti Talk turut menawarkan tempahan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 5:55 AM