JESUS (kanan) galas tugas robek gawang Ecuador dan Colombia.
JESUS (kanan) galas tugas robek gawang Ecuador dan Colombia.
AFP

Rio de Janeiro: Ketua jurulatih Brazil yang baharu, Tite mempertaruhkan lima pemain yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan ke dalam senarai 23 pemain untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Ecuador dan Colombia bulan depan.

Ketika beberapa pemain yang berpangkalan di Eropah tidak cukup cergas, Tite terpaksa menggunakan khidmat pemain muda seperti Gabriel Jesus, Taison, Rafael Carioca, Fagner dan penjaga gol Weverton sedangkan semua mereka tidak pernah menyertai skuad senior sebelum ini.

Jesus yang mewakili Manchester City dan sedang dipinjamkan ke Palmeiras dan Weverton yang menyelamatkan sepakan penalti ketika menentang Jerman di final Olimpik adalah dua daripada tujuh pemain skuad Olimpik Brazil yang memenangi emas minggu lalu.

Penyerang Barcelona Neymar yang menghasilkan gol kemenangan menerusi penalti di Maracana, mendapat lampu hijau jurulatih kelabnya Luis Enrique untuk terus berada di Brazil hingga perlawanan kelayakan itu tamat.

Bekas kapten Thiago Silva yang tidak mewakili negaranya sejak Copa America 2015, dijangka kembali menyarung jersi kebangsaan tetapi kecederaan paha yang dialaminya mengakibatkan namanya terpaksa digugurkan.

Jurulatih berusia 55 tahun itu turut membuat kejutan dengan menyenaraikan pemain Guangzhou Evergrande Paulinho yang pernah dibimbingnya di Corinthians sebelum pemain tengah itu berpindah ke Tottenham Hotspur.

Brazil yang juga juara lima kali, dilihat bergelut untuk layak ke edisi 2018 di Russia dan menduduki tangga keenam kumpulan Amerika Selatan selepas enam perlawanan.

Mereka akan menentang Ecuador di Quito pada 1 September sebelum berdepan Colombia di Manaus lima hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 7:48 AM