Budak perempuan yang mendakwa nyaris diculik lelaki menaiki van putih.
Budak perempuan yang mendakwa nyaris diculik lelaki menaiki van putih.
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Polis Johor akan menyiasat aduan seorang ibu yang mendakwa anak perempuannya berusia sembilan tahun nyaris menjadi mangsa culik sekumpulan lelaki menaiki van putih di Pasir Gudang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz mengesahkan menerima laporan daripada ibu kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan bagi memastikan kesahihanan maklumat diberikan pengadu dan kumpulan kanak-kanak itu.

"Wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Alam, semalam.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat kurang tepat sebaliknya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan," katanya.

Berdasarkan aduan wanita berusia 28 tahun itu, kejadian dikatakan berlaku pada 7.30 malam semalam apabila tiga kanak-kanak perempuan termasuk dua anaknya dan seorang anak saudaranya berusia tujuh hingga sembilan tahun berjalan pulang ke rumah dari surau terletak di Jalan Gelam 5, Kampung Sungai Rinting C Masai di sini.

Wanita berkenaan menyatakan ketika itu, sebuah van putih menghampiri kanak-kanak berkenaan dan tiga lelaki dewasa di dalam kenderaan itu cuba mengumpan dengan gula-gula.

Difahamkan, seorang lelaki dari kenderaan itu didakwa bertindak mencapai tangan anaknya berusia sembilan tahun dan cuba ditarik masuk ke dalam van.

Bagaimanapun, kumpulan lelaki berkenaan meninggalkan lokasi itu selepas menyedari seorang penduduk kampung memerhatikan perbuatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 10:09 PM