SEBAHAGIAN daripada haiwan eksotik yang cuba dibawa masuk ke Malaysia daripada negara Thailand yang berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perlis. FOTO Eizairi Shamsudin
SEBAHAGIAN daripada haiwan eksotik yang cuba dibawa masuk ke Malaysia daripada negara Thailand yang berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perlis. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 248 haiwan eksotik dan peliharaan dari pelbagai spesis yang cuba dibawa masuk secara tidak sah melalui perjalanan kereta api ke negara ini dirampas oleh anggota Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis di Stesen Kereta Api Padang Besar di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, anggota kastam yang membuat pemeriksaan terhadap setiap gerabak kereta api penumpang yang baru tiba dari Bangkok di stesen berkenaan menemui empat buah beg dalam keadaan yang mencurigakan yang diletakkan dua beg dalam sebuah gerabak kargo dan sebuah tandas di gerabak penumpang kereta api berkenaan.

Pengarah Kastam Perlis, Kamarudin Jaafar berkata, beg itu kemudian dibawa turun untuk diperiksa melalui mesin pengimbas kastam di stesen kereta api itu.

"€œApabila diperiksa, imbasan dari mesin pemeriksaan itu mendapati beg berkenaan mengandungi pelbagai jenis haiwan eksotik dan peliharaan yang masih hidup yang diletakkan dalam setiap kotak dalam beg berkenaan"€ katanya kepada pemberita di pejabat JKDM Padang Besar tadi.

Tambahnya lagi, antara haiwan eksotik dan peliharaan yang dirampas adalah seperti 181 ekor ular dari pelbagai spesis termasuk yang berbisa, enam ekor tupai terbang atau ‘sugar glider’, 10 ekor kura-kura dari spesis ‘Sulcata Tortoise’, 28 ekor biawak dhab, dua ekor iguana, 10 ekor tupai dan 11 ekor arnab.

“Anggota kita juga turut cuba mengesan pemilik atau orang membawa haiwan berkenaan yang berkemungkinan berada dalam kereta api berkenaan tiada siapa yang tampil untuk menuntut haiwan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati haiwan ini cuba dibawa masuk untuk dijual di kedai binatang peliharaan di negeri ini dan kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat orang perseorangan yang menempah binatang ini untuk dijadikan haiwan peliharaan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Perlis, Mohamad Affendi Ibrahim yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata kebanyakkan haiwan yang dirampas itu adalah spesis yang tidak banyak ditemui di negara ini.

“Kita percaya berkemungkinan haiwan ini datangnya dari Thailand atau negara di utara Thailand seperti Myanmar atau Laos dan cuba dibawa ke negara ini tanpa mempunyai lesen yang sah,” katanya lagi.

Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM70,000 dan haiwan yang dirampas itu diserahkan kepada PERHILITAN untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Jadual Ke-3, Bahagian 1 Akta Kastam 1967 (Larangan bersyarat kecuali dengan apa yang diperuntukkan) kerana tidak mempunyai Lesen Eksport dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 3:40 PM