REKA bentuk bergaya dengan ciri dipertingkatkan.
REKA bentuk bergaya dengan ciri dipertingkatkan.
Erywan Norshal


Selepas tiga tahun memperkenalkan tiga model berkuasa tinggi bersesaran bawah 500cc, Boon Siew Honda Sdn Bhd kini melancarkan varian siri Honda 500 berciri baharu dengan kehadiran reka bentuk tersendiri yang praktikal dan prestasi lebih tangkas.

Tiga model dimaksudkan adalah Honda CBR500R, CB500F dan CB500X menjadi jentera yang dinanti pengguna Malaysia pada tahun ini.

Siri Honda 500 adalah contoh kepada produk jenama berkenaan yang direka dengan inovasi menawarkan prestasi terbaik dan ketahanan boleh dipercayai.

Banyak perubahan dilakukan pada jentera itu terutama pada bahagian enjin 471cc DOHC dengan sistem penyejuk cecair dwi selari yang menawarkan pengalaman terbaik kepada penunggang.

Lubang lejang model baharu itu direka pada saiz 67 milimeter (mm) x 66.8mm dipertingkatkan bagi menyalurkan kuasa yang luar biasa iaitu 49.5hp pada 8,500rpm dengan tork maksimum mencapai 44Nm pada 7,000 rpm.

Kapasiti tangki petrol dibesarkan untuk CBR500R dan CB500R daripada 15.7 liter kepada 16.7 liter, manakala 17.5 liter bagi CB500X.

Siri Honda 500 varian 2016 dilengkapi dengan padanan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang termasuk tampil reka bentuk baru yang bergaya.

Penampilannya lebih agresif berbanding dengan model sebelum ini, selain padanan ciri baru termasuk penyerap hentakan hadapan dan belakang boleh laras.

Peredam ekzos baharu turut direka dengan bentuk sporty bagi model CBR500R dan CB500F. Malah, ciri keselamatan dipertingkatkan selepas dilengkapi sistem kunci ‘wave key’.

Model Supersport, Naked dan Adventure itu memberi nilai yang sangat berbaloi serta menyeronokkan. Jentera dalam segmen kategori pertengahan motosikal berkuasa tinggi didatangkan dengan berpatutan membabitkan RM31,681 (CBR500R), RM31,363 (CB500F), RM31,893 (CB500X) dan RM35,391 bagi CB500XA (ABS).

CBR500R didatangkan dalam warna merah, hitam dan Trico. Sementara itu, CB500F hadir warna putih, manakala merah, hitam dan putih bagi CB500X. Ia juga hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau jarak perjalanan sejauh 20,000km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:03 AM