Penjual durian yang cedera parah selepas ditikam seorang lelaki di Taman Seri Kijang, Bukit Mertajam, semalam, diberi rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital. - Foto IHSAN PEMBACA
Penjual durian yang cedera parah selepas ditikam seorang lelaki di Taman Seri Kijang, Bukit Mertajam, semalam, diberi rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital. - Foto IHSAN PEMBACA
BERNAMA

Bukit Mertajam: Polis hari ini, menahan seorang lelaki berusia 60 tahun bagi membantu siasatan kejadian penjual durian mati akibat cedera parah ditikam dalam pergaduhan di sebuah kedai durian di Taman Sri Kijang, Machang Bubok di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, lelaki yang dikatakan rakan mangsa itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari, hari ini, selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah.

“Polis turut merampas pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan dia akan direman bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Ong Ting San, 61, yang cedera ditikam di belakang badan, rusuk kiri dan kanan serta kedua-dua kaki, mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya 10.44 malam tadi.

Rusli berkata, Ong cedera parah selepas ditikam dalam pergaduhan dengan seorang lelaki pada 5.15 petang semalam dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya selepas keadaannya semakin kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 6:42 PM