LORI terbalik selepas hilang kawalan. FOTO Ramli Ibrahim
LORI terbalik selepas hilang kawalan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Pemandu treler dan kelindannya menempuh detik mencemaskan apabila treler dinaiki yang sarat muatan 20 balak terbalik di Kilometer 9 Jalan Gua Musang-Lojing dekat Kampung Kundur, di sini.

Kejadian berlaku 3.30 petang tadi menyebabkan pemandu itu, Mohd Zulkarniah Zuhan, 29, dan kelindan Mohd Izudin Mohamad, 19, terperangkap di tempat duduk mereka.

Bagaimanapun, kedua-duanya keluar daripada kenderaan dalam keadaan selamat dengan bantuan orang awam.

Zulkarniah ketika ditemui memberitahu dia yang dalam perjalanan ke Gua Musang dari Kuala Betis cuba mengelak jentera Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang menuju ke Kuala Betis untuk memadam kebakaran semak.

"Namun treler hilang kawalan ketika cuba mengelak kenderaan bomba dan terbalik.

"Ketika itu saya hanya berserah sahaja kepada Yang Maha Esa kerana memikirkan treler sarat dengan 20 balak.

"Alhamdulillah kami dapat keluar daripada kenderaan menerusi cermin depan yang pecah sambil dibantu orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 11:43 PM