CHONG Wei.
CHONG Wei.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perbezaan ketara antara temasya Olimpik London dan Rio meyakinkan pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei untuk memberikan cabaran.

Chong Wei berjanji akan memberikan yang terbaik kerana aksinya di Olimpik bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah bagi seluruh rakyat Malaysia yang mahu sebutir pingat emas dibawa pulang.

Tegas pemenang perak dua kali itu, biarpun begitu, dia tetap memerlukan doa seluruh rakyat Malaysia mengiringinya setiap kali turun ke gelanggang.

“Jika empat tahun lalu saya dihantui kecederaan yang menyekat pergerakan, tahun ini sedikit berbeza kerana saya sudah bersedia sepenuhnya.

“Saya tidak menyertai pertandingan sepanjang tempoh dua bulan terakhir ini termasuk menarik diri daripada menyertai Taiwan dan Australia.

“Jadi, saya lebih fokus kali ini berbanding 2012,” katanya.

Dua kali kehilangan kilauan emas kepada Lin Dan dan sememangnya tidak boleh mengelak bertemu jaguh dunia itu, Chong Wei yang menduduki ranking pertama dunia itu berkata, untuk bergelar juara dia perlu menghadapi semua lawan.

Justeru, tiada apa yang merugikannya kali ini selepas dua kali tewas perlawanan akhir, namun menegaskan tidak akan mengambil mudah setiap lawan biarpun bukan ternama.

Mengulas mengenai corak latihannya menjelang perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 11 Ogos ini menentang Soren Opti dari Surinam, Chong Wei berkata, semuanya terpulang kepada kepada Hendrawan dan Tey Seu Bock untuk merancang program latihan, tetapi percaya kedua jurulatih itu sudah tentu mempunyai perancangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:36 AM