PESERTA bergambar kenangan selepas program berakhir.
PESERTA bergambar kenangan selepas program berakhir.
Asmahanim Amir


Seramai 120 pelajar daripada 22 sekolah termasuk ASASIpintar dan Kolej PERMATApintar berkampung di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membentangkan hasil penyelidikan masing-masing, baru - baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq OK Abdullah berkata, program International Future Scientist Conference for the Gifted and Talented Students 2016 itu diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah membentangkan hasil penyelidikan mereka supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan memilih penyelidikan yang layak untuk dibawa ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Hasil penyelidikan itu juga akan diletakkan dalam prosiding dan dimuat naik ke Internet supaya masyarakat dunia boleh lihat dan baca,” katanya.

Persidangan tiga hari itu juga bagi mendidik pelajar membuat penyelidikan dan membentangkannya kepada umum.

“Jika mereka (pelajar) membuat penyelidikan tapi hanya disimpan, tiada faedah akan diperoleh. Tetapi jika menulis dan menerbitkannya, masyarakat dunia dapat menilai hasil penyelidikan yang dilakukan pelajar Malaysia,” kata Dr Riza Atiq.

Sementara itu, Pengarah Pusat PERMATApintar Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, hampir 200 penyelidikan dihasilkan pelajar sekolah seluruh negara sejak persidangan itu diadakan lima tahun lalu.

Menurutnya, ada antara peserta memenangi pingat emas di persidangan antarabangsa di Romania, Mei lalu.

“Tahun ini kami mendapat penyertaan lebih banyak berbanding tahun lalu. Malah ada juga penyertaan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) selain sekolah berasrama penuh, sekolah harian dan Maktab Rendah Sains Mara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:02 AM