Rabat (Maghribi): Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kepalanya cedera parah akibat terkena batu yang dibaling seekor gajah di sebuah zoo di sini baru-baru ini.

Kejadian Selasa lalu itu berlaku ketika mangsa yang berusia tujuh tahun bersama keluarganya melawat zoo berkenaan dan bergambar di hadapan kandang gajah.

Media tempatan melaporkan, bapa kanak-kanak itu mengangkat mangsa di bahunya sementara ibunya merakamkan gambar.

Bagaimanapun, seekor gajah mengambil seketul batu seberat hampir satu kilogram dengan belalai dan membalingnya ke arah keluarga berkenaan.

Batu itu terkena belakang kepala kanak-kanak berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Satu video yang dirakam seorang pengunjung menunjukkan beberapa petugas cuba membantu kanak-kanak itu yang mengalami pendarahan di kepala.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital di sini.

Seorang jurucakap zoo memberitahu, mangsa dan keluarganya tidak melanggar peraturan keselamatan dan tidak menceroboh tempat kurungan gajah berkenaan.

“Kejadian seperti ini sangat jarang berlaku dan ia sukar dijangka dan luar biasa.

“Insiden seperti ini berlaku di zoo di seluruh dunia seperti serangan buaya di Disney World Orlando dan seorang budak jatuh dalam kurungan gorila di Zoo Cincinnati di Amerika Syarikat,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:07 AM