PAPARAN permainan Pokemon Go menunjukkan karakter yang boleh ditemui di Masjidilharam.
PAPARAN permainan Pokemon Go menunjukkan karakter yang boleh ditemui di Masjidilharam.

Makkah: Demam Pokemon Go sedang melanda seluruh dunia, malah bandar suci ini dan kawasan sekitarnya turut tidak terlepas daripada permainan berkenaan.

Permainan itu dilaporkan menetapkan lokasi pertempuran antara karakter Pokemon di Kaabah dan hadiah juga boleh ditemui di pintu masuk Masjidilharam.

Beberapa pihak berpendapat Pokemon Go mencemarkan kesucian Masjidilharam dan masjid lain kerana ada karakter diletakkan di dalam rumah ibadah dan permainan itu juga boleh mengintip pemainnya.

Ahli Majlis Ulama Arab Saudi, Sheikh Abdullah Al-Munea berkata, Pokemon Go bahaya kepada keselamatan negara kerana ia bertujuan membongkar lokasi rahsia yang dianggap satu penderhakaan di negara itu.

Ketika pasukan laman web majlis itu melawat Makkah, mereka menemui antara lokasi pertempuran Pokemon berlaku di atas Kaabah.

Mereka juga mendapati lima jemaah bermain Pokemon Go di kawasan mataf yang baru dan jumlah pemain semakin meningkat.

Hadiah dan karakter Pokemon pula boleh ditemui di hadapan beberapa pintu masuk masjid suci berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan yang juga anggota Majlis Syura, Sheikh Issa Al-Ghaith berkata, Pokemon Go tidak haram walaupun karakter Pokemon ditemui di atas Kaabah dan pemainnya bermain tanpa bergerak.

“Secara keseluruhan, saya berpendapat tiada yang haram dalam permainan itu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:59 AM