MANGSA meninggal dunia dilokasi kejadian. FOTO ihsan PDRM
MANGSA meninggal dunia dilokasi kejadian. FOTO ihsan PDRM
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Seorang pengawal keselamatan maut dan rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Lahat berhampiran pasar borong Lahat, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 7.57 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia dilokasi kejadian dikenali sebagai Cheah Wai Meng, 61, manakala rakannya yang parah dikenali sebagai Chew Kim Heng, 54, yang membonceng motosikal bersama mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kemalangan itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal turut cedera dan patah tangan akibat kemalangan itu.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Menglembu dan gagal mengawal kenderaannya hingga terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian merempuh dua motosikal di laluan bertentangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Jamil berkata, akibat rempuhan itu seorang penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya cedera parah serta seorang lagi penunggang motosikal lain cedera dan pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 4:08 PM