Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang menjadi pilihan utama di temasya Olimpik Rio dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan.

Dalam undian dijalankan di Brazil semalam, Chong Wei diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pemain muda dari Singapura Derek Wong dan Soren Opti (Surinam).

Andai semua berjalan lancar, laluan getir Chong Wei akan bermula di separuh akhir dan menantinya ialah musuh tradisi dari China Lin Dan yang juga pilihan ketiga kejohanan.

Pertemuan itu ibarat perlawanan ulangan final Olimpik 2008 Beijing dan 2012 London dan jika berjaya melepasi halangan di separuh akhir itu, mungkin impian rakyat Malaysia untuk melihat emas pertama dapat dijelmakan.

Seorang lagi pemain China yang juga pemenang gangsa di London Chen Long diletakkan sebagai pilihan kedua.

Bagaimanapun situasi berbeza bakal dihadapi pemain beregu negara.

Beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying diundi dalam Kumpulan C bersama beregu Indonesia dan pilihan ketiga kejohanan.

Peng Soon-Liu Ying perlu melepasi cabaran Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir andai ingin muncul juara kumpulan bagi memastikan laluan mudah di suku akhir.

Beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga berdepan tugas getir di peringkat kumpulan apabila diundi bersama pasangan China Fu Haifeng-Zhang Nan dalam Kumpulan B. Namun mereka dijangka tidak berdepan masalah melepasi halangan pasangan Amerika Syarikat dan Jerman.

Dalam acara beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei diundi dalam Kumpulan C bersama pasangan Indonesia, Britain dan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 9:50 AM