Saya bercerai dengan bekas isteri kira-kira dua tahun lalu dan sebelum bercerai, saya membuat perjanjian bersama bekas isteri untuk menyerahkan sebuah rumah, motosikal, kereta, wang edah, wang harta sepencarian serta nafkah anak sebanyak RM700 setiap bulan.

Selama berpisah, saya mengotakan segala janji dan tidak pernah terlepas membayar nafkah anak walaupun terpaksa berhutang.

Namun, pendidikan dan makan-minum anak-anak terabai selepas bekas isteri bekerja semula di tempat kerja lamanya.

Anak-anak bersendirian di rumah selepas pulang dari sekolah dan bekas isteri belum pulang dari tempat kerjanya.

Hal ini juga membuatkan saya risau keselamatan anak-anak kerana tiada orang dewasa memantau mereka. Justeru, adakah wajar jika saya menuntut hak penjagaan anak-anak kekal kepada saya dan bagaimanakah caranya saya boleh berbuat demikian?

Adakah saya boleh menuntut rumah yang ketika ini diduduki bekas isteri kerana ia dibeli sewaktu kami masih bersama dan beberapa perkara lain yang saya mahu tuntut kembali.

Ahmad, Melaka

Saudara sudah bersetuju dan membuat pengakuan menyelesaikan kes perceraian dengan cara menyerahkan segala harta kepada bekas isteri. Saudara tidak boleh menarik balik persetujuan terbabit kecuali yang berkaitan dengan hak penjagaan dan nafkah anak-anak.

Saudara atau bekas isteri tidak boleh menarik balik perkara-perkara lain yang sudah dipersetujui seperti nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian.

Jika tuntutan diteruskan, pihak yang memulakan tindakan itu dianggap melakukan penghinaan terhadap perintah persetujuan dan boleh dijatuhkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali. Isu hak penjagaan dan nafkah anak-anak bergantung kepada keadaan semasa kedua-dua pihak. Jika ada perubahan, undang-undang akan membenarkan ia diubah sewajarnya mengikut situasi.

Misalnya, saudara bersetuju membayar nafkah anak sebanyak RM750 sebulan adalah berdasarkan kemampuan saudara pada waktu persetujuan itu direkodkan. Selepas beberapa tahun, jumlah itu menjadi beban kerana pendapatan saudara tidak mencukupi lalu saudara boleh memohon untuk mengurangkan.

Begitu juga bekas isteri boleh memohon untuk menaikkan jumlah nafkah itu memandangkan perbelanjaan semakin bertambah selaras dengan anak-anak yang membesar.

Saudara boleh memohon mengubah perintah hak penjagaan anak-anak agar diserahkan kepada saudara berdasarkan alasan yang kukuh dan selari dengan undang-undang serta hukum syarak. Tetapi dalam kes saudara, saya melihat tiada alasan kukuh saudara mengubah hak penjagaan anak-anak daripada ibunya.

Si ibu yang bekerja tidak akan menggugurkan haknya sebagai hadhinah (penjaga) selagi pekerjaannya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Isu keselamatan anak-anak ketika bekas isteri bekerja sewajarnya tidak timbul kerana saudara sepatutnya turut memikirkan alternatif menempatkan anak-anak sehingga bekas isteri pulang bekerja. Jika saudara menggunakan alasan itu, ia hanya menimbulkan pergaduhan berpanjangan dan akhirnya kebajikan anak-anak terjejas.

Namun, jika anak-anak sudah mumayyiz, mereka boleh memilih dengan siapa dia ingin tinggal, sama ada ibu atau bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:00 AM