Bintulu: Pemandu dan kelindan lori maut apabila treler dinaiki terbabas di Batu 29, Jalan Bintulu-Tatau, dekat sini, tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku 12.15 tengah hari berpunca kontena dibawa terjatuh sebelum pemandunya hilang kawalan terbabas.

Sumber polis berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu Nelkcas Kuang Kasim, 35, dan kelindan Mulana Lom, 35, maut di tempat kejadian.

"Kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Tatau dari Bintulu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, salah satu kontena jatuh menyebabkan treler itu hilang imbangan.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Deputi Superintendan Lim Kwai Seng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:45 PM