Dr Natrah.
Dr Natrah.
Dr Natrah (tiga dari kiri) bersama rakan di I-Vet PetCare.
Dr Natrah (tiga dari kiri) bersama rakan di I-Vet PetCare.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Berkecimpung dalam dunia kedoktoran haiwan atau veterinar ternyata profesion yang cukup unik dan mencabar. Tidak seperti manusia, pengendalian haiwan lebih sukar kerana tiada siapa tahu masalah kesihatan yang dialami makhluk terbabit melainkan selepas dikenal pasti oleh veterinar.

Seperti kerjaya doktor perubatan, seorang veterinar diperlukan untuk melakukan prosedur perubatan ke atas haiwan termasuk mengenal pasti penyakit, merawat kecederaan, menentukan jenis ubat, memberi ubat pelali dan menjalankan pembedahan haiwan peliharaan dan ternakan.

Mereka juga bertanggungjawab memberi nasihat kepada pemilik haiwan peliharaan mengenai cara pemakanan dan penjagaan yang betul.

Sejak beberapa dekad ini, semakin ramai pencinta haiwan terutama haiwan peliharaan seperti kucing yang begitu mementingkan penjagaan khusus buat si bulu tidak ubah seperti ‘anak’ sendiri menjadikan permintaan terhadap bidang veterinar semakin bertambah.

Tambahan pula akses kepada penjagaan kesihatan haiwan semakin meluas di negara ini hingga ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.

Bagi pencinta haiwan, mereka yang berkecimpung dalam bidang ini sememangnya dianggap wira kepada makhluk berkenaan.

Pengasas klinik dan penjagaan haiwan I-Vet Petcare Shah Alam Dr Natrah Abdul Razak berkata, objektif membangunkan klinik itu bukan saja mahu menyelamatkan haiwan yang sakit atau tercedera sebaliknya dia mahu memberi nilai kepada kehidupan makhluk itu.

“Mereka tidak boleh bercakap jika ada sebarang masalah kesihatan, jadi siapa lagi yang boleh diharapkan selain doktor haiwan untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami dan memberikan rawatan sesuai kepada mereka.

“Kadangkala pemilik haiwan itu sendiri tidak tahu atau tidak dapat mengenal pasti masalah yang haiwan mereka alami. Jadi, pentingnya tugas kami untuk membantu menyelamatkan haiwan dan berbakti kepada mereka,” katanya.

Sudah biasa dikerumuni haiwan

Berpegang pada prinsip hidupnya, setiap makhluk perlu dilayan dengan baik, Dr Natrah mengakui dirinya amat dekat dengan haiwan dan secara peribadi, dia amat menyayangi haiwan sejak kecil.

Malah dia akui membawa warisan bapanya yang terlebih dulu menjadi tenaga pakar dalam bidang terbabit sehingga mencapai usia persaraannya baru-baru ini.

Berkhidmat sebagai doktor haiwan di hospital veterinar, bapanya menjadi sumber inspirasi Dr Natrah dalam membuat keputusan hala tuju kerjayanya malah dia amat gembira dengan pilihan yang dibuatnya itu.

“Saya membesar di ladang kerana ayah bertugas sebagai pengurus di sebuah ladang di Sungai Siput, Perak semasa saya kecil. Jadi saya memang biasa dikelilingi haiwan seperti kuda, kambing, dan pada masa sama membela kucing.

“Dekat dengan haiwan sejak kecil lagi, sudah menjadi kebiasaan saya melihat ayah menguruskan haiwan ternakan di ladang dan ia banyak mempengaruhi saya untuk memilih bidang ini sebagai pilihan kerjaya.

“Saya nekad memilih bidang veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas tamat pengajian di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah dan menghabiskan lima tahun menguasai bidang ilmu ini,” katanya.

Dr Natrah terlebih dulu merangkul pengalaman selama empat tahun di sebuah klinik veterinar kerajaan di Shah Alam pada awal kerjayanya sebelum membuka klinik sendiri sejak tiga tahun lalu di Seksyen 23, Shah Alam.

Disebabkan kliniknya itu mendapat sambutan luar jangkaan, dia terpaksa membuka cawangan kedua I-Vet Petcare di Alam Avenue 2, tahun lalu bagi menampung permintaan ramai.

Lebih kepada konsep klinik butik, klinik kedua itu bukan sekadar klinik rawatan tapi juga berkonsep lebih santai bagi membuang stigma masyarakat terhadap klinik haiwan yang sering dikatakan berbau tidak menyenangkan selain kotor.

Di klinik itu juga, dua bilik berasingan disediakan untuk anjing dan kucing. Selain rawatan klinikal dan pesakit luar, klinik juga melakukan pembedahan kecil, pembedahan ortopedik dan membina semula tisu serta menawarkan hotel dan spa kucing serta dandanan.

Menyingkap cabaran dan pengalaman yang dihadapi Dr Natrah sepanjang kariernya, antara pengalaman tidak dilupakan ketika dia bekerja di Zoo Negara selepas tamat pengajian apabila dia diarahkan menyambut kelahiran seekor singa.

Ketika itu bermacam-macam bermain di fikirannya, apatah lagi haiwan itu perlu melahirkan tanpa sebarang ubat pelali dan ia pengalaman yang sentiasa melekat dalam memorinya.

“Siapa tidak gerun, awal bekerja saya sudah diminta menyambut kelahiran anak singa. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan selamat. Itu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Kerjayanya di Zoo Negara bertahan sehingga empat bulan sebelum dia dipanggil bertugas di klinik veterinar kerajaan di Shah Alam sebagai pegawai veterinar dalam bidang ternakan.

Meskipun mempunyai pengalaman dalam pelbagai cabang veterinar, dia mengakui lebih meminati haiwan kecil seperti kucing dan anjing.

“Sememangnya dari kecil saya sudah bercita-cita mahu merawat kucing dan anjing dan alhamdulillah, impian membuka klinik haiwan sendiri tercapai.

“Kini, kami membangunkan syampu berubat jenama sendiri diperbuat daripada minyak kelapa dara, dirumus bersama ahli kimia menggunakan bahan organik,” katanya.

Produk syampu berubat untuk haiwan yang dikeluarkan klinik itu juga kini dalam peringkat perluasan pasaran. Lebih menggembirakan Dr Natrah apabila produk itu mendapat perhatian negara luar seperti Emiriah Arah Bersatu dan Brunei dan kini dalam proses membawa masuk ke negara berkenaan.

Keluarga hulur sokongan

Berkongsi kehidupan keluarganya, Dr Natrah mendirikan rumah tangga bersama suami, Ahmad Azid Tahir, 31, dan dikurniakan dua cahaya mata berusia empat tahun dan setahun.

Sudah pasti penyokong utamanya ialah suami, malah sebelum mereka memiliki pekerja, lelaki itulah yang banyak membantu menguruskan klinik.

Daripada kerja pembersihan premis hingga penjagaan haiwan, suami Dr Natrah langsung tidak kekok dalam urusan seperti membersihkan sangkar dan mencuci najis haiwan.

“Ketika mula membuka klinik ini, suami masih bekerja sebagai pegawai kerajaan tapi saya amat bertuah kerana kesanggupannya membantu menguruskan klinik awal pagi sebelum ke pejabat manakala selepas habis waktu kerja, suami menyambung semula tugasan membantu saya di klinik.

“Pengorbanan suami berterusan apabila dia nekad melepaskan jawatan sebagai pegawai tadbir diplomatik untuk bersama saya memajukan klinik haiwan kami. Sememangnya saya cukup bersyukur dan mendapat kekuatan daripada suami yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan karier saya,” katanya.

Wanita berusia 31 tahun ini juga berkata, ibunya yang juga usahawan banyak membantunya dari segi modal dan strategi perniagaan malah tanpanya, mungkin sukar merealisasikan impian untuk memiliki klinik sendiri.

Kaedah merawat anjing

Menurut Dr Natrah, sebagai veterinar, mereka tidak boleh mendiskriminasikan pesakit (anjing), cuma boleh cari jalan alternatif utk menjaga sensitiviti mengikut kesesuaian.

1. I-Vet ada bilik rawatan khas utk anjing.

2. Semasa rawatan, kami tidak menggunakan sarung tangan kerana sentuhan adalah perlu untuk ‘bonding’ dan juga kepuasan doktor sendiri semasa merawat.

3. Jangan pandang tepat pada mata anjing semasa pertama kali jumpa kerana kita tidak mahu anjing itu rasa terancam.

4. Pastikan pemilik anjing boleh tangani anjing mereka, sangat penting kerana anjing terlatih lebih takut dan patuh pada tuan mereka maka lebih mudah kerja rawatan dijalankan.

5. Selepas selesai setiap rawatan anjing, samak dengan air tanah atau sabun samak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 3:27 PM