Ahmad Salim Bachok

Mulai Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaikkan kadar bayaran letak kereta di kawasan parkir miliknya daripada 80 sen kepada RM2 sejam. Kenaikan kadar bayaran secara berperingkat itu dimulakan dengan fasa pertamanya membabitkan kawasan Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Kenaikan secara mendadak sehingga 150 peratus ini tentunya mendapat reaksi negatif dan bantahan terutama daripada penduduk Kuala Lumpur dan pengguna kenderaan yang bekerja atau sering berurusan di pusat bandar. Bagi mereka, tindakan ini adalah melampau, kejam dan dianggap masih belum tiba masanya.

Pihak DBKL pula mempunyai alasan dan kewajaran tersendiri untuk menaikkan kadar berkenaan, lebih-lebih lagi kadar berkenaan dikatakan telah tidak dinaikkan sejak berbelas tahun lalu. Selain itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, DBKL hanya melaksanakan dasar kementeriannya yang telah diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, lebih sebulan lalu.

Bagi saya secara peribadi, tindakan DBKL ini adalah sah dan mempunyai kewajaran. Tujuan kenaikan kadar ini, antara lain ialah untuk mengurangkan kemasukan terlalu banyak kereta ke pusat bandar hingga menyebabkan kesesakan setiap hari.

Dianggarkan kira-kira tiga juta kenderaan, terutama kereta, masuk ke Kuala Lumpur setiap hari, dengan sejuta daripadanya perlu mencari dan menggunakan petak parkir. Malangnya parkir awam milik DBKL hanya berjumlah kira-kira 46,000 petak. Maka, mendapat petak parkir, terutama di kawasan penting beli-belah seperti Bukit Bintang, Masjid India atau Chow Kit pada waktu puncak adalah umpama kita memenangi tiket loteri!

Jadi, dengan kenaikan kadar bayaran parkir ini diharap dapat mengurangkan kereta memasuki pusat bandar. Justeru mereka yang ada keperluan untuk ke pusat bandar boleh menggunakan alternatif lain iaitu pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorel atau teksi (termasuk khidmat Uber dan GrabCar) yang mutu perkhidmatannya dikatakan semakin baik sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa parkir kereta milik swasta berjumlah berbelas kali ganda banyaknya daripada parkir milik DBKL. Semua pusat beli-belah, hotel dan kompleks pejabat swasta ada menyediakan parkir letak kereta sama ada untuk kakitangannya atau untuk awam. Mungkin bayarannya lebih tinggi, tetapi ia tidak mempunyai had masa seperti yang ditentukan oleh DBKL.

Had tiga jam parkir DBKL juga mampu memberi impak positif kepada ekonomi dan perniagaan premis perniagaan yang terletak berhampiran dengan parkir milik DBKL ini. Jika dulu dengan kadar 80 sen sejam dan tiada had tempoh parkir, ramai pemilik kenderaan yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur menjadikan parkir DBKLseperti harta datuk nenek mereka dengan meletak kereta mereka dari awal pagi hingga awal malam. Jadi, secara teorinya, dengan peraturan baru ini mereka tidak boleh lagi berbuat demikian.

Hanya satu yang saya bimbangkan, iaitu isu penguatkuasaan. Mampukan penguatkuasa DBKL memantau semua petak parkirnya di seluruh Kuala Lumpur yang seluas 243 kilometer persegi itu secara berterusan sepanjang hari, minggu, bulan dan sepanjang tahun?

Selain bermatlamat mahu mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu kota dan masalah pencemaran asap serta bunyi akibat terlalu banyaknya kenderaan memasuki Kuala Lumpur, kenaikan kadar parkir ini tentunya memberikan hasil yang lumayan kepada pemilik parkir ini. Lebihan hasil ini tentunya mampu sedikit sebanyak memberi faedah kepada bandar raya dan penghuninya.

Secara pengiraan mudah, jika hanya 75 peratus atau 34,500 petak parkir ini digunakan sepenuhnya selama lapan jam setiap hari dan enam hari seminggu, DBKL mampu mengutip hasil lebih RM220 juta setahun, berbanding kadar lama hanya sebanyak RM88 juta.

Tentunya perbezaan lebih RM132 juta hasil petak kereta ini mampu memberi pelbagai faedah dan kelebihan kepada DBKL untuk menambah baik kemudahan serta meningkatkan kemakmuran penduduk Kuala Lumpur.

Lebih penting, pada masa sama Kuala Lumpur menjadi kurang sesak daripada kenderaan, lebih bersih udaranya dan kegiatan ekonomi, perdagangan serta jual belinya bertambah rancak apabila kereta hanya boleh diletak maksimum tiga jam di sesuatu petak parkir. Harap-harapnya begitulah.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:11 AM