FOTO ihsan PDRM
FOTO ihsan PDRM
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dua lelaki Arab warga Yaman berusia 30-an maut manakala dua wanita Thailand parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Tanjung Bungah di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan jam 3 pagi itu membabitkan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga Arab berusia 30 tahun Alammar Ghamdan Abdulkarem bersama tiga penumpang termasuk rakan senegaranya Nader Hasam Yahya Qaid, 34, serta dua wanita warga Thailand.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan berlaku di Jalan Tanjung Bungah menghala ke Batu Feringghi berhampiran Kelab Renang Pulau Pinang.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan serta tiang lampu dan akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terbakar.

"Siasatan mendapati pemandu kereta itu tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi penumpang yang dilaporkan parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Bagaimanapun, penumpang lelaki warga Arab itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP manakala dua lagi penumpang wanita warga Thailand dilaporkan parah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 4:51 PM