Oleh Ramlah Zainal
[email protected].m

Dia hanya bawa watak pembantu dalam filem genre komedi romantik, Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly yang diadaptasi dari novel popular itu. Namun, siapa yang dapat menidakkan kehebatan aktres berkaliber Eja yang pernah mendapat jolokan 'ratu air mata' itu untuk menyentuh hati dan emosi penonton?

Ternyata, ramai yang tidak dapat menahan sebak dan bercucuran air mata ketika menonton lakonan mantapnya sebagai Aishah, ibu kepada dua anak yang juga pesakit kanser dalam filem terbitan Global Station, Red Films dan Astro Shaw berkenaan.

Dalam filem yang diterajui gandingan aktres popular, Nur Fazura dan Shaheizy Sam itu, Eja melakonkan watak kakak kepada Fazura bergandingan dengan aktor hebat, Faizal Hussein.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Siti Shahrizah Saifuddin, 42, mengakui dia terima tawaran beraksi dalam filem itu kerana tertarik dengan watak Aishah.

"Ia kali kedua saya bergandingan dengan Fazura dan memegang watak sebagai kakaknya dalam filem. Sebelum ini, kami bergandingan dalam Tembus arahan Ahmad Idham. Saya turut menimba pengalaman berbeza bekerja dengan pengarah hebat seperti Bernard dan barisan produksi yang bagus seperti Red Films.

"Walaupun hanya watak pembantu, saya berusaha berikan lakonan yang terbaik. Saya sangat berharap lakonan saya sebagai Aishah dalam filem itu dapat mengubat rindu peminat di layar lebar," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:02 AM