Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjangkakan industri pembinaan negara kekal kukuh dan meningkat walaupun berdepan dengan situasi kejatuhan nilai ringgit.

Ringgit dilaporkan menyusut ke paras terendah sejak krisis kewangan global pada 2008-2009 apabila ia ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit susut kira-kira 10 peratus selepas mencatatkan paras tertingginya tahun ini pada RM3.1463 bagi setiap dolar AS yang direkodkan pada 27 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim berkata, sektor pembinaan tidak menerima kesan memandangkan kebanyakan barang asas didapati di pasaran domestik dan tidak membabitkan pertukaran mata wang asing.

Beliau berkata, kesan itu boleh juga berlaku sekiranya bahan pembinaan diimport.

“Kami jangkakan keadaan ini tidak memberi kesan kepada industri pembinaan tempatan, malah ia terus meningkat sehingga tahun depan.

“Tambahan, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut tidak akan menjejaskan industri,” katanya pada pelancaran lima insentif untuk kontraktor ubahsuai menerusi Program Akreditasi Kontraktor Ubahsuai (CNAR), Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:00 AM