KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


Segamat: Suami isteri dan seorang anak maut, manakala tiga lagi anak mereka parah dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 7 malam itu, mangsa, Mohd Rezal Abdul Karim, 37, yang memandu Proton Saga dan Rozaimah Mahmod @ Mahmud, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang anak mereka, Nuralisa Yasmin, 11, meninggal dunia 4 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.

Manakala, anak mereka yang parah dikenal pasti Muhammad Aniq Aiman Mohd Rezal, 16; Muhammad Haziq Iqbal, 13; dan Nurdurrah Khadeeja, 12 bulan.

Turut parah, pemandu Mitsubishi Triton, Ezam Abu, 55.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton dari arah Muar ke Labis memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton Saga dipandu mangsa dari arah Labis ke Muar.

Akibat perlanggaran itu, Mohd Rezal dan Rozaimah dilaporkan tersepit dalam kenderaan mereka sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera termasuk pemandu Mitsubishi Triton itu dibawa ke Hospital Daerah Segamat di sini, untuk rawatan lanjut, manakala Nurdurrah Khadeeja dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 9:52 AM