FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Lelaki berusia 31 tahun maut apabila Proton Wira dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Tongkang Pechah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, mangsa, Chin Lee Kwang maut di lokasi kejadian selepas keretanya hilang kawalan akibat terlanggar tembok jalan di sebelah kanan jalan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kereta dipandu mangsa yang berasal dari Batu 4, Jalan Yong Peng dekat Parit Sulong itu datang dari arah Batu Pahat ke Tongkang Pechah di sini.

"Siasatan awal mendapati mangsa melanggar tembok jalan di sebelah kanan menyebabkan dia hilang kawalan sebelum kenderannya terbabas.

"Mangsa maut di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dipercayai akibat kecuaian mangsa sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2016 @ 1:36 PM