KESESAKAN jalan raya luar biasa perkara lumrah berlaku setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.
KESESAKAN jalan raya luar biasa perkara lumrah berlaku setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.
Mohd Shahrizal Nasir

Menjelang beberapa hari akhir Ramadan ini, kenderaan di jalan raya makin bertambah-tambah. Kesesakan berlaku tanpa disangka-sangka. Ditambah dengan ragam pemandu, sudah tentu menguji kesabaran kita.

Semua orang mahu cepat. Namun, situasi kesesakan menyebabkan kenderaan bergerak perlahan. Usah mengeluh kerana bukan kita saja yang ingin pulang beraya. Orang lain pun sama juga, ada orang tua dan saudara-mara.

Jadi, pada kesempatan ini suka saya mengingatkan beberapa perkara sebelum pulang ke kampung halaman, iaitu:

n Memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Berhubung aspek keselamatan di jalan raya, sikap ambil berat terhadap kenderaan sendiri perlu diberikan keutamaan serius.

Luangkan waktu untuk melakukan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan seperti keadaan tayar dan brek. Jangan sesekali ambil mudah terhadap aspek keselamatan, apatah lagi kita turut membawa anak dan isteri.

n Patuhi peraturan jalan raya.

Sudah menjadi fitrah, kita memerlukan peraturan agar kehidupan berjalan dengan tertib dan lancar.

Tidak mengikuti peraturan boleh membuatkan hidup kita huru-hara, bahkan membawa kepada kehancuran.

Peraturan di jalan raya untuk keselesaan dan bukannya menyusahkan kita. Jadi, tiada sebab kita tidak mematuhinya terutama di persimpangan lampu isyarat dan had laju ditetapkan. Jangan memandu ikut suka hati, nanti merana diri.

n Hormati pengguna jalan raya lain.

Apabila berada di jalan raya janganlah terbawa-bawa dengan sifat gelojoh dan tinggi diri. Hormatilah orang lain.

Mungkin kita memandu kenderaan besar, namun bukan bermakna kita boleh pecut atau himpit yang lain terutama motosikal sesuka hati.

Apabila hendak menukar lorong, memotong kenderaan lain atau membelok, berilah lampu isyarat supaya yang berada di kiri dan kanan atau belakang menyedari tindakan kita. Jangan main redah saja, kerana ia boleh mengundang kemalangan.

n Saling mendoakan kesejahteraan.

Usah lupa untuk memohon doa kebaikan sebelum memulakan perjalanan. Jika pada kebiasaannya kita berdoa kepada Allah untuk memohon keselamatan bagi diri dan keluarga saja, kali ini kita turut mendoakan orang lain yang menggunakan jalan raya agar turut diberikan keselamatan.

Malaikat akan mendoakan kebaikan kepada Muslim yang mendoakan kebaikan untuk orang lain dalam keadaan mereka tidak mengetahuinya. Inilah antara kehebatan ikatan ukhuwah sesama Muslim.

Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Doa seorang Muslim untuk saudara seislamnya dalam keadaan tidak diketahui oleh orang didoakan, maka di sisi kepalanya (orang mendoakan) ada malaikat ditugaskan.

“Setiap kali orang itu mendoakan kebaikan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu mendoakan: Amin (perkenankanlah wahai Allah) dan untukmu juga seperti (kebaikan didoakan) itu.”

Sama-samalah kita menjaga sikap apabila di jalan raya demi keselamatan kita bersama. Pandu cermat, jiwa selamat!

Penulis pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 9:08 AM