FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Seorang wanita Indonesia putus kaki selepas dirempuh motosikal ketika melintas di Lebuh Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun dirempuh dan diseret motosikal ketika melintas di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebuah motosikal jenis kawasaki yang ditunggani seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-40 an dari arah Jalan Pengkalan Weld ke arah Lebuh Cecil telah bertembung dengan mangsa yang ketika itu sedang melintas dari arah Gat Lebuh Maccalum ke Gudwara.

Katanya, motosikal itu menyeret mangsa beberapa meter sehingga menyebabkan kaki mangsa putus ditempat kejadian.

"Penunggang motosikal dilaporkan terbabas di tepi jalan, namun mangsa dalam keadaan sedar telah dibawa bersama kaki yang putus ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati kaki mangsa yang putus itu kemungkinan besar tidak dapat disambung semula disebabkan urat sarafnya hancur," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenalpasti identiti penunggang motosikal kerana dilaporkan telah dibawa ke sebuah hospital swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 12:34 PM