myMetro

Kamu sedih, murung tapi bingung dengan perasaan dan emosi sendiri secara tiba-tiba tanpa sebab munasabah.

Kajian ahli psikologi mendapati perasaan sebegini wujud dalam diri segelintir individu yang mengalami gangguan ‘hypophrenia’ ataupun kesedihan tanpa alasan.

Punca terjadi hypophrenia sering dikaitkan dengan diri kamu yang kerap bersendirian, terlalu sensitif, pernah mengalami trauma ataupun kehilangan seseorang insan tersayang.

Gen Y sarankan kamu atasi perasaan ini dengan cara yang betul kerana jika berlarutan ia mungkin menyebabkan masalah kesihatan dan kemurungan serius.

Luah kepada teman

Terbit saja perasaan sebegini, lekas hubungi rakan terdekat atau insan yang kamu selesa bercerita dengannya. Mungkin perasaan itu sendiri sukar dikhabarkan dan kamu banyak berkias. Apa kata ceritakan hal sebenar dan berterus terang.

Selepas puas luah kepada mereka, ubah pula topik kepada sesuatu yang ceria serta tidak mengingatkan kamu pada masalah itu. Setidak-tidaknya ini boleh mengalihkan perhatian kamu daripada mengingatinya kembali.

Rehatkan minda

Rasa derita dan gelisah tanpa penghujung pastinya membuatkan kita serba tak kena. Mungkin kamu merindui insan yang jauh tapi dekat di hati.

Langkah terbaik ialah berhenti memikirkan keadaan mereka, berhenti mengingati memori dan kosongkan minda dengan tidur. Apabila kamu terjaga, minda akan lebih segar dan stabil.

Nilai diri sendiri

Mungkin selama ini kamu tidak sedar perasaan itu hadir kerana kesalahan kepada seseorang. Fikirkan jika kamu pernah mengguris hati seseorang ataupun memalukan dirinya di hadapan kenalan lain.

Tanya diri sendiri jika ada perkara yang kamu terlepas pandang dan kemudian berusaha memulihkan keadaan. Tapi berjaga-jaga, jangan menyalahkan diri sendiri hingga ia membebankan diri kamu.

Tak salah menangis

Usah ego atau menahan tangisan selagi mampu. Menangislah semahunya jika itu yang membuatkan kamu lega. Luahkan perasaan kamu kepada teman rapat.

Biarpun kita berasakan diri kita cukup berdikari dan kuat sekalipun, gangguan emosi ini pasti berlaku. Dengan cara menitiskan air mata, ia pastinya membuatkan kamu tenang dan lebih positif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:00 AM