Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan di Parlimen pada tahun depan bagi mengenakan denda kepada individu yang menghilangkan pasport secara sengaja kecuali bukan disebabkan kecuaian termasuk kebakaran.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu akan diteliti menerusi Akta Bayaran namun, jika ada klausa di bawah peraturan tertentu untuk dilaksanakan maka ia boleh dilaksanakan tanpa perlu dibawa ke Parlimen.

Beliau berkata, cadangan itu diperkenalkan bagi memastikan individu tidak semudah-mudahnya menghilangkan pasport masing-masing bagi mengelak ia disalah guna oleh individu lain untuk menyusup ke sesebuah negara.

"Buat masa ini, Pasport Antarabangsa Malaysia (PAM) sangat dikehendaki oleh penjenayah; pengedar dadah dan pejuang bebas untuk menyelinap masuk ke negara lain memandangkan ia memiliki ciri-ciri keselamatan yang tinggi," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Penolong Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat Alan Bersin di pejabatnya, di sini, sebentar tadi.

Katanya, rakyat Malaysia tidak sewenang-wenangnya boleh menghilangkan pasport masing-masing bagi mengelak ia disalah guna pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 2:40 PM