RAMOS (kiri) mahu lupa detik hitam di Perancis.
RAMOS (kiri) mahu lupa detik hitam di Perancis.
Reuters

Madrid: Pemain Sepanyol pulang ke Madrid tanpa sebarang sambutan selepas dua penyingkiran awal berturut-turut dalam kejohanan utama.

Selepas mimpi ngeri di Piala Dunia Brazil apabila Sepanyol tersingkir di peringkat kumpulan, pemain pulang selepas kekalahan 0-2 kepada Itali pada pusingan kedua, Isnin lalu.

Pertukaran jurulatih seperti sukar dielakkan selepas kejayaan Vicente del Bosque di Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 diikuti dengan dua kekecewaan berturut-turut.

Hampir 97 peratus daripada undian yang dijalankan Sports Paper Marca, Selasa lalu mencadangkan supaya Del Bosque digantikan.

Pemain pertahanan Sepanyol Gerard Pique bagaimanapun percaya pasukan kebangsaan perlu kembali ke peringkat asas untuk membincangkan semula cara permainan bola sepak yang membawa banyak kejayaan sebelum ini tidak lagi efektif.

“Kami perlu untuk berubah secara kolektif. Kami perlu memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan pasukan kebangsaan ini.

“Sekiranya kami mahu menang kejohanan utama lagi, kami perlu meningkatkan mutu permainan pasukan ini,” katanya.

Bintang Barcelona itu berkata, mereka tidak berada di tahap sebagai pencabar utama kejuaraan dan Sepanyol bukan lagi pasukan terbaik di kejohanan ini.

“Walaupun cuba untuk bermain di tahap sama seperti yang dilakukan sebelumnya, kami tidak efektif. Penyingkiran ini akan membawa kami ke kejohanan masa depan dengan mengetahui kami bukan lagi pasukan pilihan.

“Kami perlu meningkatkan lebih banyak lagi tahap permainan menjelang Piala Dunia di Russia kelak,” katanya.

Banyak yang mencadangkan satu rombakan besar perlu dilakukan selepas kekalahan Piala Dunia Brazil namun Del Bosque masih mengekalkan banyak pemain dengan harapan mereka akan bangkit semula.

Mereka jelas tidak berada di tahap sebenar apabila tewas 1-2 di tangan Croatia dan sekali lagi ketika menentang Itali.

Bagaimanapun, pemain pertahanan Sergio Ramos yang memiliki banyak cap tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Katanya, ia sangat menyakitkan apabila terpaksa pulang pada pusingan kedua dengan mengetahui mereka mampu melakukan lebih baik daripada itu.

“Ini satu tamparan besar kepada kami tapi kami perlu bersatu dan melupakan episod malang ini.

“Dengan hanya duduk di sofa sambil makan kerepek, memang senang untuk bercakap.

“Saya tidak tahu sama ada perlu atau tidak melakukan perubahan kerana anda boleh lihat pemain di pasukan kebangsaan bermain pada usia 35 tahun,” katanya.

Ramos mengetuai pasukan Sepanyol dalam empat perlawanan di Perancis menggantikan pemain veteran Iker Casillas yang kehilangan tempat kepada David de Gea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:02 AM