PETIKAN daripada rakaman CCTV. FOTO ihsan polis
PETIKAN daripada rakaman CCTV. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Lelaki yang melakukan khianat dengan membakar rak jualan di lima pasar raya di sekitar Seremban dua minggu lalu, akhirnya ditahan polis selepas melakukan perbuatan sama di pasar raya Giant, Palm Mall, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 22 tahun terbabit membakar rak tuala di dalam pasar raya berkenaan dengan menggunakan pemetik api pada 12.20 tengah hari.

"Kebakaran itu berjaya dipadamkan pekerja yang menyedari kejadian. Pengawal keselamatan kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melihat kejadian itu sengaja dilakukan seorang lelaki.

"Pengawal keselamatan terbabit menahan suspek ketika dia berjalan keluar dari pusat beli-belah berkenaan. Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan itu sekadar suka-suka sahaja, dan polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 9:05 PM