WAN Liza menguruskan tanaman ros Jepun di rumahnya.
WAN Liza menguruskan tanaman ros Jepun di rumahnya.
WAN Liza menguruskan tanaman ros Jepun di rumahnya.
WAN Liza menguruskan tanaman ros Jepun di rumahnya.
ROS Jepun ulek mayang.
ROS Jepun ulek mayang.
ROS Jepun fire fly mendapat sambutan luar biasa.
ROS Jepun fire fly mendapat sambutan luar biasa.
WAN Liza menanam pokok.
WAN Liza menanam pokok.
ROS Jepun mulan (merah jambu) dan royal gold (kuning).
ROS Jepun mulan (merah jambu) dan royal gold (kuning).
POKOK ros Jepun disusun.
POKOK ros Jepun disusun.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Bermula sebagai hobi bagi mengisi masa lapang, seorang suri rumah kini memperoleh pendapatan sampingan hasil menjual bunga ros Jepun atau bunga kembang pukul 10 yang ditanam di pekarangan rumahnya, sejak tiga tahun lalu.

Wan Liza Wan Osman, 39, menguruskan kebun mini itu seawal jam 6.30 hingga 10 pagi dan mempunyai lebih 200 jenis ros Jepun termasuk ulek mayang, cheese, duna, fire fly, royal gold, mulan dan dusty rose yang menjadi kegilaan peminat di negara ini.

Ibu kepada seorang cahaya mata berkelulusan Diploma Juruukur Bahan dari sebuah universiti tempatan itu pada peringkat awal, dia menanam pokok bunga itu sekadar hobi untuk menghiasi rumah.

Bagaimanapun, selepas ia membiak serta mengeluarkan bunga yang cantik, ramai peminat bunga itu berminat membelinya.

Hasilnya, dia kini memperoleh pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan.

“Bermula daripada situ, saya mengumpul pelbagai jenis ros Jepun sehingga koleksi keseluruhan yang saya miliki sebanyak 200 jenis.

“Paling membanggakan apabila hasil ‘perkahwinan’ anak benih yang berlaku secara semula jadi di kebun itu menghasilkan spesies ros Jepun baru yang namakan ulek mayang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasa Binjai, Kampung Padang Midin, Marang, Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dia memperuntukkan RM150 sebulan membeli pelbagai jenis baja dan racun organik bagi memastikan pokok tidak dijangkiti virus dan membiak dengan baik.

“Setiap tanaman ada musuhnya yang tersendiri, tidak terkecuali ros Jepun. Saya pernah kerugian akibat sejenis virus menjangkiti pokok menyebabkan ia mati secara berperingkat.

“Selain musim hujan, ancaman lain yang boleh menyebabkan pokok cepat mati ialah kulat dalam tanah yang menyebabkan pokok menjadi kering dan akhirnya mati,” katanya.

Wan Liza mempromosikan pokok ros Jepunnya melalui laman sosial termasuk Facebook dan biasanya pelanggan datang ke rumah untuk membeli keratan pokok berkenaan.

“Saya menjual keratan pokok itu mengikut jenis masing-masing. Paling mahal ulek mayang dijual RM1 satu keratan manakala benih ros Jepun jenis lain dijual RM1 untuk lima keratan.

“Biasa pelanggan membeli 10 hingga 50 keratan dan pernah saya memperolehi RM100 sehari hasil menjual ros Jepun itu,” katanya.

Bercerita mengenai kelebihan ros Jepun itu katanya, ia istimewa berbanding bunga lain kerana berbunga tidak mengikut musim dan hanya mengambil masa seminggu dari tempoh semaian untuk mengeluarkan bunga.

“Ia akan berbunga dan mengembang dari jam 9.30 pagi hingga 3 petang bergantung pada keadaan cuaca. Sekiranya ditanam pelbagai jenis, ia akan kelihatan cantik dan pelbagai.

“Ros Jepun juga tidak cerewet seperti kebanyakan bunga lain dan mudah membiak selain purata pokok itu hidup antara lima hingga enam bulan bergantung kepada keadaan pokok dan cara penjagaannya,” katanya.

Seorang peminat Tih Nazuha Abdul Wahab, 35, dari Kampung Manir, Marang, berkata, dia memiliki 10 jenis ros Jepun yang ditanam di kawasan rumah.

“Ros Jepun senang membiak kerana tidak cerewet dan paling penting ia mengeluarkan bunga dan mengembang serentak menyebabkan halaman rumah kelihatan cantik.

“Sebelum ini saya mengumpul pelbagai jenis orkid tapi selepas menanam ros Jepun saya mula mengemarinya berbanding pokok bunga lain,” katanya.

Dia berhasrat menambah pelbagai jenis lagi koleksi yang menarik dan unik supaya kawasan rumahnya dikelilingi ros Jepun yang pelbagai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 11:54 AM