AJAK dan Johan antara pelawak yang menempa nama di stesen radio.
AJAK dan Johan antara pelawak yang menempa nama di stesen radio.
Rudy Iman Shamsudin


Formula menampilkan pelawak sebagai penyampai radio kini digunakan hampir semua stesen radio utama. Jika sebelum ini Sinar FM mengetengahkan Salih Yaacob bersama Raja Azura dan Khairil, Era FM pula tampilkan Johan Raja Lawak.

Sejak Johan menjadi penyampai pagi di Era bersama dua lagi temannya, Hanif dan Ray, program dikendalikan mereka, Johara di Era muncul program paling diminati.

Letaklah siapapun pelawak, mereka masih gagal untuk merampas tempat Johan dan teman-temannya sebagai penyampai pagi paling berpengaruh hingga ada orang dalam industri radio mengatakan Era FM bertuah ada Johan. Kalau dibawa keluar pelawak itu, stesen itu tiada apa-apa.

Terbaru, Hot FM menampilkan pula Ajak daripada kumpulan Shiro berganding dengan dua lagi penyampai tetap, Haziq dan Fizie.

Bertemu Johan dan Ajak bagi membicarakan perihal ini, mereka melihat apa yang dilakukan itu dari sudut lebih positif. Mereka mengakui untuk berlawak di radio bukan mudah berbanding di pentas mahupun di TV.

Bagi Johan yang nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Azi, apa juga pujian diberikan pendengar mahupun orang industri radio, dia selalu percaya semangat bekerja berkumpulan itu jauh lebih penting.

“Semua orang main peranan sebenarnya daripada rakan sekerja saya, Hanif dan Ray hinggalah kepada penerbit. Kejayaan diraih hari ini berkat kerjasama semua pihak.

“Hendak diikutkan, kerja pagi setiap hari tidak mudah, ada kala idea tidak datang. Ada masa saya ‘blank’ juga. Tapi disebabkan adanya kerjasama inilah membuatkan kami dapat terus menghiburkan pendengar setiap pagi di Era,” katanya.

Mengenai ‘trend’ kebanyakan radio menampilkan pelawak, Johan melihat ia perkembangan positif dan tidak pernah melihat siapa saja pelawak ditampilkan stesen lain sebagai pesaing.

“Bayangkan sekarang kerjaya seni pelawak semakin luas apabila mereka tidak saja beraksi di pentas, TV mahupun filem, tetapi juga di radio. Malah bakat pelawak juga berkembang di media sosial.

“Pada saya, apabila lebih ramai pelawak ditampilkan sebagai penyampai radio, ia akan mewujudkan persaingan tetapi bagi saya, persaingan sihat. Maklumlah kalau saya seorang saja pelawak yang ada sebagai penyampai dan tiada orang lain, saya akan rasa selesa.

“Apabila kita selesa, lama-lama kita akan rasa senang berada di takuk sama. Dengan munculnya pelawak lain di stesen radio berbeza, ia akan membuatkan saya sentiasa sedar bahawa radio lain juga ada pelawak.

“Saya harus sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling dan berusaha untuk menjadi terbaik. Ini akan menjadikan saya bekerja lebih kuat,” katanya.

Berdepan cabaran, kata Johan dia harus lebih kreatif dan cuba mewujudkan beberapa watak wanita seperti Mak Jemah dan terbaru Madam Lucy.

Johan akui tertekan apabila orang meletakkannya sebagai penyampai hebat dan tiada tandingan. Tambah pula dalam situasi bekerja, dia harus menjaga hati rakan setugas.

“Sudahlah sepanjang bekerja mereka selalu menjadi ‘bahan’ lawak saya terutamanya Ray, jadi kalau boleh saya tidak mahu ada unsur lain yang boleh membuatkan mereka berkecil hati. Biarlah kami naik sama-sama.

“Begitupun, saya akui dalam bekerja ada juga masa kami berselisih faham. Tapi perkara itu lebih membawa kebaikan kerana apabila kita bergaduh, kita akan luahkan apa yang terbuku di hati.

“Apabila diluahkan, kita akan kenal dan lebih faham kawan kita dan kerja akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Mengenai Aidilfitri yang bakal menjelang, Johan dan isteri menyambutnya di rumah keluarga di Kampung Baru dan Ampang, Kuala Lumpur.

Ajak optimis respons pendengar

Ajak atau Mohd Hanaffi Razak akui dirinya bukan pelawak hebat dan cuba melakukan yang terbaik apabila menyertai Hot FM.

Katanya, dia hanya pelawak biasa tambah pula apabila menyertai Hot FM sebagai penyampai, banyak perkara yang harus dipelajari.

“Berlawak dalam konti jauh berbeza dengan di pentas mahupun di hadapan kamera TV. Tidak dinafikan persaingan sebagai pelawak dan penyampai sangat besar, apatah lagi seperti Johan kredibilitinya sudah diketahui umum. Mujur rakan setugas saya, Haziq dan Fizie penyampai berpengalaman,” katanya.

Menceritakan titik mula menceburi bidang penyampaian radio ini, Ajak bertuah apabila Johan sudi memberi tunjuk ajar. Malah Ajak menganggap pelawak senior itu sebagai gurunya.

“Sehari sebelum datang bertugas, kami bertemu di Damansara. Johan memberi pelbagai tip apa yang boleh saya lakukan dan sebaliknya sebagai pelawak dan penyampai radio. Ilmu yang diberikan serba sedikit itu memang banyak membantu,” katanya.

Sepanjang enam bulan bertugas, dia benar-benar gusar dengan penerimaan pendengar setia Hot FM, apatah lagi dia mengantikan tempat AM Krew yang sebelum ini dikendalikan nama besar dalam industri radio, Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.

“Waktu itu saya tekad tidak mahu buka dan tengok semua media sosial yang saya ada.

Saya bimbang dengan maklum balas diberikan pendengar.

“Begitupun, rakan setugas memberitahu kebanyakan pendengar setia memberi maklum balas positif. Awalnya saya tidak percaya hinggalah tengok sendiri komen diberikan pendengar. Tidak ada satupun komen buruk diberikan dan saya bersyukur penerimaan baik pendengar,” katanya.

Lebih menggembirakan Ajak apabila empat kali persembahannya ‘trending’ di laman sosial Twitter dan sekali berada di carta nombor satu.

“Saya juga seperti Johan, melihat pembabitan pelawak sebagai penyampai radio sangat positif. Selain ia memperkembangkan kerjaya seni kami, waktu sama kehadiran pelawak memberikan warna pada corak persembahan penyampai radio,” katanya.

Mengenai perancangan sambutan raya tahun ini, Ajak dan keluarga akan pulang ke Kluang, Johor kerana isterinya asalnya di sana.

“Kami tidak ada masalah untuk pilih beraya di rumah keluarga siapa dulu. Cuma apabila menjadi penyampai radio ini, rutin sambutan raya sedikit berubah apabila saya harus pulang ke Kuala Lumpur awal.

“Sebagai orang baru, saya tidak boleh bercuti panjang dan akan kembali bertugas selepas seminggu menyambut hari raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:06 AM