Oleh Siti Nadirah Hafidzin

UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) yang juga pemaju induk Nusajaya, Johor serta satu daripada lima pemacu utama Iskandar Malaysia berjaya menganjurkan Program 'Kembali-Ke-Sekolah' bersama 131 anak Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Johor, baru-baru ini.

Program terbabit turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Johor (JAKOA) Abdul Aziz Ngah yang menyampaikan sumbangan berbentuk barangan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak Orang Asli kampung berkenaan.

Pengurus Besar Kanan Nusajaya UEM Sunrise Berhad Mohd Nadzari Bachek berkata, program kali kedua itu bertujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan dalam membuat persediaan bagi memulakan sesi persekolahan 2015.

Menurutnya, dalam program itu menyaksikan 131 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di kampung terbabit menerima kelengkapan sekolah antaranya dua set pakaian seragam sekolah, satu set stoking, sepasang kasut sekolah dan alat tulis dengan jumlah keseluruhan RM250 bagi setiap seorang.

"Sebagai permulaan sesi persekolahan 2015, kami ingin memastikan anak-anak ini bersedia untuk ke sekolah dengan keperluan asas persekolahan yang mencukupi.

"Kami berharap dengan sumbangan ini akan memberikan keceriaan kepada anak-anak ini selain mengurangkan bebanan keluarga mereka," ujarnya.

Mohd Nadzari berkata, UEM Sunrise sentiasa komited untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan memerlukan selaras dengan objektif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

"Prinsip CSR kami adalah bagi mewujudkan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat setempat yang tinggal di kawasan kami beroperasi.

"Disebabkan itu, kami sentiasa berusaha membantu golongan memerlukan khususnya di kawasan ini bagi memberikan kegembiraan dan sinar kebahagiaan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM