Sultan Sharafuddin  bersama Tengku Amir Shah dan Azmin mengaminkan doa selepas merasmikan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya ketika majlis berbuka puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Amir Shah dan Azmin mengaminkan doa selepas merasmikan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya ketika majlis berbuka puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Cyberjaya: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak mahu ada dalam kalangan umat Islam terlalu bersifat ekstremis dan taasub terhadap agama sehingga menolak segala kemajuan serta tidak mengikut lunas Islam sebenarnya.

Baginda juga tidak berkenan umat Islam yang terlalu liberal sehingga mengenepikan syariat Islam seperti menghalalkan budaya terlalu bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta mengamalkan budaya terkeluar daripada syariat Islam dan garis panduan ditetapkan agama Islam.

Malah, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda berkenan supaya semangat jihad yang ada pada setiap umat Islam dimanfaatkan dan disalurkan ke tempat betul bukannya dengan membabitkan diri di dalam aktiviti keganasan atau pelampau agama seperti Daesh.

"Jadilah umat Islam yang mengikut landasan Islam sebenarnya dan sentiasa menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan hidup. 

"Harapan beta seluruh umat Islam bersatu padu dan bekerjasama untuk kemajuan dan kesejahteraan bersama," titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis berkenaan, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 377 penerima terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan mualaf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 9:53 PM