MEMBACA al-Quran dapat memberi ketenangan kepada jiwa.
MEMBACA al-Quran dapat memberi ketenangan kepada jiwa.
Idris Musa

Al-Quran adalah petunjuk kepada orang bertakwa. Kitab yang sangat mulia, mengandungi kebenaran dan kesempurnaan, rahmat dan keberkatan.

Firman Allah bermaksud: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang (hendak) bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 2)

“Sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu al-Quran yang sangat mulia. Yang tersimpan dalam kitab yang terpelihara. Tidak menyentuhnya melainkan makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah al-Waqiah, ayat 77 hingga 79)

“Dan al-Quran ini juga pengajaran berkat yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad) dengan keadaan yang demikian, maka patutkah kamu mengingkarinya?” (Surah al-Anbiya, ayat 50)

n

Keutamaan membaca al-Quran

Rasulullah SAW mengkhabarkan mengenai keutamaan membaca atau menghafal al-Quran. Banyak hadis menerangkan perkara berkenaan dan antaranya yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, Nabi SAW bersabda, mafhumnya:

“Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujah (sejenis buah seperti limau). Baunya harum dan rasanya sangat lazat.

“Dan orang Mukmin yang tidak (kurang suka) membaca al-Quran bagaikan buah kurma. Baunya tiada, namun rasanya manis.

“Dan orang munafik pula yang suka membaca al-Quran ibarat buah raihanah (ada juga menterjemahkannya bunga). Baunya harum, namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran bagaikan buah hanzalah, tidak berbau sama sekali dan rasanya sangat pahit.” (Sahih Bukhari)

Itulah antara kelebihan orang yang membaca al-Quran, apatah lagi orang yang menghafalnya, faham makna dan kandungannya serta mengamalkan ajarannya, maka tentulah kedudukannya lebih tinggi.

Qadi Fudail bin Iyad berkata: “Orang yang hafal Quran (hamilul Quran) adalah pembawa panji-panji agama Islam.”

n

Penawar jiwa resah

Firman Allah pada surah al-Isra, ayat 82 bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...”

Diceritakan pada suatu hari, Ibnu Mas’ud RA didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa dia sentiasa gelisah jiwa dan bercelaru fikirannya. Kemudian, beliau menasihatkan lelaki itu datang ke tiga tempat:

1. Tempat orang membaca al-Quran - dengan memerhati dan mendengar baik-baik atau dia sendiri membacanya dengan baik.

2. Majlis ilmu atau tazkirah - yang mengingatkan hati kepada Allah SWT.

3. Tempat sunyi dan tenang - di sana dia beribadat dan bertafakur kepada Allah.

Sebaik saja tiba di rumah, lelaki itu mempraktikkan apa yang dinasihatkan Ibnu Mas’ud kepada dirinya. Dia mengambil wuduk dengan baik dan membaca al-Quran dengan khusyuk. Selesai membaca al-Quran dengan serta-merta hati dan jiwanya menjadi tenang.

Justeru, pada bulan yang mulia ini, marilah kita melatih diri untuk membacanya dengan kerap.

Ia bukan semata-mata bacaan, tetapi menjadikan hidup kita selamat dan tenteram. Alangkah ruginya jika kita membiarkannya tersimpan di almari dan dimamah waktu begitu saja.

Penulis ialah Penulis Khas Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 10:02 AM