KEADAAN motosikal mangsa selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN motosikal mangsa selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
Ardyhansah Amat


Beaufort: Lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh Proton Preve sebelum digilis kenderaan lain di Batu 6, Kilometer 8 Jalan Beaufort-Sipitang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, mangsa, Mohd Noor Salleh, 44, maut dalam perjalanan ke Hospital Beaufort akibat mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, selain motosikal dan Proton Preve, kemalangan itu turut membabitkan Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.

"Siasatan awal mendapati semua kenderaan dalam perjalanan dari arah Sipitang menuju ke Beaufort didahului motosikal dan diikuti, Preve dan Myvi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Preve cuba memintas motosikal namun gagal, sebelum merempuh mangsa.

"Mangsa kemudian terjatuh dan digilis Myvi yang berada dibelakang," katanya.

Tambah Azmir, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:33 PM