BARANGAN yang dirampas dalam serbuan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
BARANGAN yang dirampas dalam serbuan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Sebelas individu termasuk empat wanita ditahan dalam empat serbuan judi haram bersempena Op Dadu di Jalan Pantai dan Sulaman Central Manggatal di sini, semalam.

Daam serbuan yang bermula 2 petang, semua individu ditahan adalah penjaga dan pelanggan premis judi berusia 20 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat orang awam dan risikan polis, pihaknya mengesan aktiviti perjudian jenis loteri serta ‘Wah Hui’ di lokasi berkenaan sejak kebelakangan ini.

"Selain tangkapan suspek, polis turut merampas sejumlah wang RM1,005 disyaki duit pertaruhan, telefon bimbit, kertas karbon dan kalkulator hasil daripada empat serbuan berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Chandra berkata, semua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 4:00 PM