Lim (dua dari kiri) diringi Mat Hassan (dua dari kanan) melawat bilik Hotel Lexis Suites Pulau Pinang.
Lim (dua dari kiri) diringi Mat Hassan (dua dari kanan) melawat bilik Hotel Lexis Suites Pulau Pinang.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Kuala Lumpur Metro Group (KL Metro Group) menyasarkan membina dua lagi hotel baru di Kuala Lumpur dan Port Dickson, Negeri Sembilan berkonsepkan ‘water home’ mulai tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Mat Hassan Esa berkata, pembinaan kedua-dua hotel itu sebahagian usaha melebarkan empayar perniagaan perhotelan sejak pembukaan empat resort dan hotel yang diuruskan sepenuhnya Kumpulan Lexis Hotel sejak 2006 hingga hari ini.

Beliau berkata, sebagai syarikat dinamik dalam bidang penjenamaan hotel, pihaknya berbangga apabila secara rasminya membuka hotel baru bertaraf lima bintang iaitu Lexis Suites Penang di Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

“Bersesuaian dengan pembangunan ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Mutiara, pembukaan hotel ini mampu meningkatkan sektor perniagaan pelancongan dan perhotelan di daerah Barat Daya di Bayan Lepas.

“Strategi pembukaan Lexis Suites Penang adalah langkah penting bagi KL Metro Group mengembangkan lagi bidang perhotelan di utara Semenanjung,” katanya selepas majlis perasmian Hotel Lexis Suite Penang di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Hadir sama, Pengarah Urusan KL Metro Group Datuk Low Tak Fatt, Pengarah Eksekutif KL Metro Group, Datuk Yap Chuan Thai dan Presiden Kumpulan Lexis Hotel, Mandy Chew.

Mat Hassan berkata, pembukaan rasmi Hotel Lexis Suites Penang di Teluk Kumbar itu secara langsung memberi kebaikan kepada masyarakat setempat serta peluang pekerjaan dan rangkaian perniagaan yang lebih maju di kawasan itu.

Beliau berkata, selain peluang pekerjaan, ia memberi kelebihan kepada komuniti untuk menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk menginap di hotel, menikmati makanan, membeli-belah, lawatan dan hiburan, sekali gus menaikkan industri pelancongan negeri.

“Lexis Suite Penang adalah hotel keempat selepas Lexis Port Dickson, Grand Lexis Port Dickson dan Lexis Hibiscus dan keempat-empat resort serta hotel ini dilengkapi 1,576 bilik dan menarik 2.5 juta pelancong sejak dari Mac lalu.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, 40 peratus adalah pelancong luar negara dari 63 negara dan pembukaan Hotel Lexis Suite Penang mempunyai 222 bilik ternyata memberi satu rekod baru buat Pulau Pinang dengan keunikan bilik penginapan pertama dilengkapi kolam persendirian dan bilik sauna di dalam setiap bilik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:11 AM