NORELAN.
NORELAN.
NORELAN menyemak barangan yang didermakan terlebih dulu sebelum dibuka untuk jualan.
NORELAN menyemak barangan yang didermakan terlebih dulu sebelum dibuka untuk jualan.
NORELAN memberi sumbangan kepada penerima manfaat di Kosova.
NORELAN memberi sumbangan kepada penerima manfaat di Kosova.
BERMESRA dengan seorang kanak-kanak di Sri Lanka.
BERMESRA dengan seorang kanak-kanak di Sri Lanka.
NORELAN menyantuni pesakit katarak di Bangladesh.
NORELAN menyantuni pesakit katarak di Bangladesh.
MENGENDALIKAN program amal Bowling Winterisation bersama Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.
MENGENDALIKAN program amal Bowling Winterisation bersama Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.
BERSAMA penerima bantuan di Kosova.
BERSAMA penerima bantuan di Kosova.
AKTIF menyampaikan taklimat atau ceramah kemanusiaan.
AKTIF menyampaikan taklimat atau ceramah kemanusiaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Bagi sesetengah orang, menjadi isteri diplomat mungkin kedengaran menyeronokkan kerana dapat mengikut suami bertugas di serata dunia dan ada yang mengambil kesempatan itu untuk menjelajah negara orang.

Dikurniakan kehidupan serba lengkap dan sempurna tidak sekali pun menjadikan wanita ini terus berada di zon selesa, malah kudrat yang ada disalurkan pula kepada mereka yang memerlukan melalui misi kemanusiaan yang disertainya sejak 30 tahun lalu.

Berkesempatan menemui Datin Norelan Ismail, 59, baru-baru ini menyingkap pembabitan wanita ini dalam misi kemanusiaan yang begitu dekat di hatinya sejak kali pertama mengikut suami, Datuk Roslan Abdul Rahman bertugas jauh di perantauan.

Selama hampir 30 tahun merantau, antara negara yang pernah Norelan atau mesra disapa Kak Ann diami termasuk Pakistan, Amerika Syarikat , Kemboja, Sudan, Belanda serta Thailand dan wanita itu kembali ke Malaysia enam tahun lalu selepas suaminya ditugaskan semula di negara ini.

Menetap di negara pertama, Pakistan pada 1987, nyata membuka ruang luas untuk Norelan berbakti lebih-lebih lagi latar belakangnya sebagai jururawat terlatih memberi nilai tambah untuk terus berbakti melalui kepakaran yang dimiliki.

“Misi pertama di Pakistan, Kak Ann menyertai Pertubuhan Wanita Antarabangsa bersama isteri diplomat lain membantu di kem pelarian Afghanistan. Di kem itu, kami membantu dengan memberi sokongan moral kepada wanita yang tinggal di situ, bermesra bersama anak-anak pelarian dan memberi makanan kepada mereka.

“Kemudian ketika mengikut suami bertugas ke Kemboja, saya turut aktif terbabit dalam misi bantuan rakyat miskin negara itu antaranya membantu mendapatkan telaga bagi membolehkan penduduk kampung mendapat bekalan air.

“Di Sudan pula, Kak Ann aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk miskin di negara itu. Kami ke kampung yang ada di sana mencari orang susah dan memberi bantuan kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak ini berkata, dia juga tidak terlepas daripada berdepan dugaan ketika mengikuti misi kemanusiaan dan masih segar dalam ingatannya meskipun berlaku hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia pernah dikejar ‘bapa ayam’ selepas usahanya menyelamatkan pelacur kanak-kanak di Kemboja hingga memaksanya pulang dan tinggal di Malaysia selama setahun.

“Sewaktu di Kemboja, Kak Ann bekerjasama dengan Pertubuhan Wanita Antarabangsa membantu kanak-kanak keluar dari dunia pelacuran. Ini antara tugas yang memilukan hati Kak Ann kerana ada kanak-kanak semuda tujuh tahun dipaksa menjadi pelacur.

“Ada antara kanak-kanak ini yang terpaksa menjadi pelacur kerana kemiskinan, malah lebih menyedihkan akibat kesempitan hidup ada antara yang dijual kepada bapa ayam oleh ibu mereka sendiri.

“Kami bawa mangsa ke sebuah rumah dan di situ kami didik mereka menjadi kanak-kanak semula. Ada antara mereka yang tidak pernah mendapat barangan permainan dan menangis ketika mula-mula menerimanya.

“Di rumah itu mereka dijaga selama tiga bulan untuk menguruskan diri dan menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak dan selepas itu kami beri pilihan kepada mereka sama ada pulang ke rumah masing-masing atau ke rumah kebajikan,” katanya.

Namun katanya, malang sekali apabila kebanyakannya memilih kembali ke pusat pelacuran kerana tidak mahu hidup dalam kemiskinan dan ada antaranya sudah selesa dengan pekerjaan itu.

Mengenai pembabitan Norelan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief Malaysia (IRM), ia bermula sejak 2008 ketika tinggal di Bangkok, Thailand, selepas diperkenalkan rakannya dengan pertubuhan yang ditubuhkan sejak 2005 itu.

Apabila pulang ke Malaysia pada 2010, Norelan bergiat aktif bersama IRM sebagai sukarelawan sehinggalah pada 2012, dia mula terfikir pembaharuan yang boleh disumbangkan terhadap pertubuhan itu terutama dalam mengajak orang ramai menghulur sumbangan selain wang ringgit.

Katanya, pengalamannya di luar negara selama berpuluh tahun dirasakan amat berguna dan banyak perkara positif yang diamalkan terutama di negara barat sesuai dipraktikkan di negara ini misalnya menjadikan barangan terpakai bagi menjana pendapatan.

Penubuhan Charity Shoppe IRM ialah langkah inovatif Norelan untuk membantu menjana dana untuk IRM, malah kedai kebajikan ini bertindak sebagai serampang dua mata mana orang ramai yang menderma dapat membersihkan rumah daripada barangan tidak diperlukan dan pada masa sama boleh berbuat amal kebajikan.

Charity Shoppe juga umpama pintu gerbang untuk orang ramai mengenali organisasi IR dan IRM serta aktiviti kemanusiaan, dunia kesukarelawanan dan kebajikan anjuran IRM.

Selain dibuka setiap hari Selasa hingga Sabtu dari jam 10 pagi hingga 7 malam, Charity Shoppe turut menganjurkan jualan but kereta pada hari Ahad terakhir setiap bulan di depan premis itu.

Barangan yang didermakan juga akan digunakan sebagai stok barangan bantuan kecemasan yang diberi kepada mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir.

Kini, selama hampir empat tahun menguruskan Charity Shoppe, Norelan mampu menarik nafas lega kerana semakin ramai rakyat negara ini memiliki kesedaran tinggi terhadap amalan mudah tapi mampu memberi impak kepada orang lain yang memerlukan ini.

Dia bersyukur kerana sepanjang pembabitan dalam misi kemanusiaan, suami insan yang menjadi tulang belakangnya. Oleh kerana suaminya mempunyai visi dan misi hidup yang sama, tiada halangan daripada suami untuk membolehkannya terbabit dalam misi kemanusiaan ini.

Suaminya tidak terbabit secara langsung dalam misi kemanusiaan, tetapi banyak terbabit secara tidak langsung seperti dalam perancangan, aktiviti persediaan serta memberi sokongan padu kepada kerja yang dilakukan.

Meskipun hampir menginjak umur enam dekad, tidak pernah melunturkan semangat wanita peramah dan bersifat penuh keibuan ini dalam terus bergiat aktif memperkenalkan IRM, memberi penerangan mengenai kemanusiaan dan memotivasikan penerima manfaat.

Pengalamannya dalam aktiviti kebajikan melalui pelbagai NGO dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Bukan sekadar Malaysia, dia juga komited membantu mereka yang memerlukan walaupun di ceruk rantau lain.

Antara pembabitannya di luar negara termasuk di bumi Kosova dalam usaha membuat penilaian serta merasai sendiri keperitan dan kesusahan warga Kosova semasa musim sejuk. Terkini, dia aktif memperjuangkan nasib pesakit katarak di Bangladesh.

Bagi yang ingin memberi sumbangan atau membeli sambil beramal bolehlah berkunjung ke premis Charity Shoppe IRM di A-05-1, Paragon Point, Jalan Medan PB5, Seksyen 9, Pusat Bandar Bandar Baru Bangi, Selangor dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 12:14 PM