PUDING kelapa biji selasih.
PUDING kelapa biji selasih.
TEH bunga kekwa selasih.
TEH bunga kekwa selasih.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Sajian enak dan menyegarkan sememangnya menjadi pilihan utama ketika berbuka khususnya bagi kanak-kanak, apatah lagi dalam cuaca panas begini. Tidak kira di bazar Ramadan mana pun, juadah yang dibariskan atas meja jualan memang menarik perhatian dan kadangkala membuatkan kita rambang mata.

Bahkan pada bulan mulia inilah kita bertemu pelbagai juadah pencuci mulut dan kuih-muih yang tidak pernah diketahui kewujudannya sebelum ini. Ada juadah resipi baru, tidak kurang juga yang mengambil usaha mengetengahkan semula kuih-muih tradisional yang semakin dilupakan semuanya bergantung kepada kreativiti si penjual.

Bercakap soal kreatif, anda juga boleh menyediakan juadah enak yang mudah dengan mengubah suai sedikit resipi sedia ada. Bagi yang masih tiada ilham, anda boleh mencuba dua resipi mudah menggunakan biji selasih seperti di bawah.

Mungkin ramai yang tidak tahu biji selasih atau dipanggil biji chia ini sebenarnya kaya dengan omega-3, protein, serat, antioksidan, kalsium, magnesium dan vitamin B3.

Pengambilan 10 gram biji selasih (kira-kira dua sudu makan) ketika bersahur boleh membekalkan tenaga untuk anda menjalani ibadat puasa. Jadi, mengapa tidak dimanfaatkan kebaikan biji selasih yang bukan saja murah, malah mudah untuk disediakan.

Jika tiada ilham untuk menghasilkan resipi sendiri, anda boleh menyediakan puding kelapa biji selasih pada waktu malam supaya ia boleh dinikmati sejuk ketika berbuka keesokan harinya.

Lebih menarik, dua resipi oleh Rawsome sumbangan Spoon Health Organic ini boleh dinikmati bersama apa saja buah-buahan kegemaran keluarga anda bagi menambah khasiat sajian istimewa ini. Selamat mencuba!

Puding kelapa biji selasih

Bahan:

• 200 ml santan

• 2 sudu kecil madu (boleh juga gunakan gula Melaka atau pemanis pilihan)

• 2½ sudu besar biji selasih

• Seikat daun pandan

• 2 buah mangga, dipotong dadu

Cara penyediaan

1. Gaulkan santan, madu dan biji selasih di dalam mangkuk.

2. Kacau sehingga sebati dan masukkan daun pandan. Biarkan dalam peti sejuk buat semalaman.

3. Asingkan daun pandan dari puding.

4. Hidangkan dingin bersama kiub mangga.

Teh bunga kekwa selasih

Bahan:

• Beberapa kuntum bunga kekwa kering

• 1 sudu besar biji selasih

• Air panas mendidih secukupnya

• Pemanis pilihan, secukup rasa

Cara penyediaan

1. Masukkan bunga kekwa ke dalam secawan air yang sudah dididihkan. Biarkan seketika.

2. Tambahkan biji selasih dan pemanis pilihan.

3. Boleh diminum panas atau sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 1:45 PM