MENYERAHKAN Deklarasi Persediaan kepada tetamu kehormat.
MENYERAHKAN Deklarasi Persediaan kepada tetamu kehormat.
Samsudin Oli Mohamed

Pelajar Diploma Teknologi Hiasan Dalaman, Sijil Pengarangan Multimedia, Diploma Industri Product Design dan Sijil Terapi Sukan menyerahkan Deklarasi Persediaan Menjalani Latihan Industri kepada pihak Pengurusan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajarnya Abdul Rahim Md Shariff yang menerima deklarasi itu bagi pihak Pengarah Mgt Hussain Mgt Jaaffar berharap pelajar lebih bersedia menjalani latihan industri selepas menyertai Bengkel Khas Persediaan menjalani latihan industri sebelum itu.

Menurutnya, pelajar perlu menjalani latihan dan kursus seperti itu bagi meyakinkan pihak industri sewaktu menjalani latihan.

“Pelajar sudah mempelajari ilmu dan modul daripada tenaga pengajar manakala pihak pengurusan pula memberikan penerangan, maklumat dan tindakan perlu dilakukan.

“Kini tiba masanya pelajar menunjukkan keupayaan bagi meyakini pihak industri atau majikan,” katanya

Rata-rata pelajar yang ditemui bersyukur kerana buat julung kali pihak pengurusan menjemput wakil majikan untuk berkongsi maklumat sebagai persediaan menjalani latihan kelak.

Pelajar Diploma Teknologi Hiasan, Izyan Wai’yah Ajmain, 19, berkata, ketahanan fizikal dan mental sangat diperlukan bagi memantapkan tugasan diberikan.

“Ini pasti berbeza kerana kami akan bekerja bersama industri, bukan melakukannya di bengkel IKBN seperti sebelumnya.

“Pendedahan ini penting sebagai persediaan berdepan situasi sebenar dunia pekerjaan,” katanya.

Pelajar Sijil Terapi Sukan Tavitaran A/L Nedunjilan, 19, berkata, latihan industri peluang keemasan kepadanya untuk melihat secara dekat perjalanan kerjaya berkaitan bidang dipelajari serta menguji ketahanan diri dalam struktur organisasi.

‘Latihan industri yang akan kami lalui ini ibarat peluang untuk membuktikan kejayaan mengikuti apa dipelajari di IKBN.

“Penyertaan dalam bengkel seperti ini sekurang-kurangnya membantu menerima input berguna dalam bidang berkaitan sebelum memulakan kerjaya,” katanya.

Program dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Alumni IKTBN/IKBN selain Pusat Pengajian Lanjutan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memberi taklimat mengenai peluang pengajian lanjutan ke peringkat ijazah.

Lebih 130 pelajar menyertai bengkel dua hari itu yang diadakan di Dewan IKBN Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 11:47 AM