FORD Mustang dijana enjin V8 dan EcoBoost.
FORD Mustang dijana enjin V8 dan EcoBoost.
Erywan Norshal


Penantian lebih 50 tahun berakhir apabila Ford Motor Company dan pe­ngedarnya, Sime Darby Auto Connexion melancarkan model ‘muscle car’ pertama di Malaysia menerusi Ford Mustang.

Kehadirannya di negara ini selari dengan pengenalan pemanduan bahagian kanan, sekali gus Malaysia menjadi antara negara Asia yang menerima kereta ikonik itu.

Bagi pasaran tempatan, Ford Mustang ditawarkan dua pilihan enjin iaitu 5.0 liter V8 dan pengecas turbo 2.3 liter EcoBoost yang masing-masing menyalurkan kuasa maksimum membabitkan 416PS serta 317PS.

Kedua-dua enjin itu menyalurkan prestasi yang benar-benar mantap dan pada masa sama, menawarkan penjimatan bahan api. Kuasa daripada enjin itu disalurkan kepada transmisi automatik enam kelajuan SelectShift yang menawarkan prestasi lancar dan terbaik.

SelectShift memberikan keterujaan seperti menggunakan kotak gear manual dengan kemudahan transmisi automatik. Ia dileng­kapi bidai aktif pada jeriji bagi membantu meningkatkan penjimatan bahan api dengan mengurangkan seretan pada kelajuan tinggi ketika kapasiti penyejukan tambahan tidak diperlukan.

Bidai itu boleh menutup jeriji sepenuhnya, menghantar udara ke seluruh bahagian kereta dan tidak menerusi bahagian enjin.

Rekaan Mustang baharu dipasang di Flat Rock, Amerika Syarikat ini tampak kemas dan moden dengan menyerlahkan karakteristik penting jenama Ford serta mengekalkan elemen rekaan asalnya.

Rekaan asal membabitkan hud panjang dan bahagian belakang pendek bersama reka bentuk kontemporari. Ia menyeimbangkan aspek dinamik untuk kualiti pemanduan luar biasa yang memberi keyakinan mengendalikan Ford Mustang itu.

Bagi ruang kokpitnya, ia diinspirasi daripada konsep pesawat pejuang bagi menawarkan kawalan serta maklumat yang mudah dicapai.

Perincian penghasilan Mustang itu boleh dilihat pada kualiti pertuka­ngan pada ruang dalamannya dengan papan instrumentasi yang besar dan jelas memaparkan semua maklumat kenderaan.

Jentera legenda ini juga dilengkapi rang­kaian teknologi pintar dan inovatif dengan menampilkan sistem ketersambungan Ford SYNC 2 yang memboleh­kan pemandu menggunakan arahan suara untuk mengawal sistem hiburan kenderaan, sistem penyaman udara dan peranti mudah alih.

Malah, Ford Mustang itu tidak berkompromi dari segi keselamatan selepas hadir bersama lapan beg udara, termasuk beg udara di hadapan, sisi, curtain dan pada bahagian lutut.

Harga bagi Ford Mustang varian 2.3-liter EcoBoost ditawarkan bermula RM488,888 seunit, manakala RM598,888 untuk 5.0-liter V8 di atas jalan tidak termasuk insurans.

Kedua-dua varian didatangkan lima warna menarik seperti merah, putih, hitam dan biru. Selain itu, varian 5.0-liter V8 hadir dengan warna istimewa iaitu ‘Triple Yellow Tri-Coat’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:03 AM