HIKMAH disunatkan sahur untuk menguatkan diri melakukan puasa.
HIKMAH disunatkan sahur untuk menguatkan diri melakukan puasa.

Sahur ialah makanan yang dimakan pada akhir malam. Dalil sahur disunatkan ialah hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.”

Hikmah disunatkan sahur untuk menguatkan diri melakukan puasa. Al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Dapatkanlah bantuan dengan makan sahur untuk menguatkan puasa pada siang hari.”

Masuknya waktu sahur dengan berlalunya separuh malam. Fadilat sahur diperoleh dengan memakan sesuatu sama ada banyak atau sedikit, bahkan sekadar meminum air.

Diriwayatkan Ibnu Hibban dalam sahihnya, sabda Nabi SAW (mafhumnya): “Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air.” (Kitab Fiqah Mazhab Syafie)

Menurut Dr Yuzuf al-Qardhawi dalam sebuah karyanya mengenai puasa, amalan sahur adalah sunah, bahkan ia juga menjadi perbezaan antara kaum Muslimin dan selainnya.

Dalam Sahih Muslim disebutkan: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah hidangan sahur.”

Kata beliau, pada dasarnya sahur adalah sesuatu yang dapat dimakan meskipun dengan sedikit kurma. Jika tidak, sekurang-kurangnya dengan seteguk air.

Beliau menjelaskan, Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW: “Semua sahur adalah berkat.

Sebab itu, jangan kamu tinggalkan meskipun salah seorang daripada kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya memberikan selawat untuk orang-orang yang bersahur.”

Antara berkat sahur, selain memberikan kekuatan jasmani kepada umat Islam, ia juga memberikan kekuatan rohani, dengan amalan zikir, istighfar dan doa pada waktu yang penuh berkat itu.

l

Melewatkan sahur

Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Dalilnya ialah hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya, daripada Nabi SAW: “Umatku terus berada dalam kebaikan, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.”

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA: “Nabi SAW dan Zaid bin Tsabit bersahur. Apabila kedua-duanya selesai bersahur, maka Nabi SAW bangun mendirikan solat.”

Kami bertanya kepada Anas: “Berapa lamakah masa antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan solat? Jawabnya: “Sekadar 50 ayat yang dibacakan oleh lelaki.” (Kitab Fiqah Mazhab Syafie)

Al-Qardhawi menjelaskan, mengakhirkan sahur termasuk juga amalan sunah, malah ia bermanfaat untuk memendekkan waktu lapar dan menahan diri daripada perkara ditegah ketika berpuasa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 187 bermaksud: .”..dan makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar...”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 7:29 AM