TONGKAT ali.
TONGKAT ali.

Tongkat ali sejenis pokok saiz sederhana yang boleh mencapai ketinggian hingga 10 meter. Tumbuh secara liar di kawasan tropika di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Filipina, Borneo dan Sumatera.

Khasiat herba tongkat ali atau nama saintifiknya eurycoma longifolia jack memang tidak dinafikan dalam dunia perubatan moden.

Ia pokok yang tumbuh tegak, mempunyai sistem akar tunjang dan serabut. Batangnya jenis berkayu dan licin berbentuk selinder, berwarna kelabu di bahagian yang tua sementara akar muda berwarna coklat kemerahan.

Daunnya jenis majmuk, mempunyai tangkai daun yang panjang dan tersusun secara berpusaran di bahagian atas atau hujung batang.

Setiap tangkai mempunyai 20 hingga 30 pasang anak daun yang tersusun bertentangan. Daun muda berwarna hijau kekuningan, hijau tua dan coklat.

Jambak bunganya jenis panikel yang terbit dari ketiak tangkai daun, jambaknya bercabang yang mempunyai banyak bunga bersaiz kecil, bunga berwarna kuning kemerahan.

Tongkat ali menghasilkan banyak buah yang berbentuk lonjong atau bujur berwarna hijau ketika muda dan bertukar merah pekat apabila matang.

Tanaman tongkat ali boleh dibiakkan melalui biji benih dan tampang seperti keratan, tut dan teknologi tisu kultur. Pembiakan melalui biji benih adalah lebih mudah dan praktikal kerana tumbuhan ini menghasilkan bilangan buah yang tinggi pada setiap musim.

Buah yang sudah matang dan subur berwarna merah pekat boleh disemai terus di dalam medium pasir untuk percambahan. Biji benih mula bercambah selepas empat minggu disemai.

Anak benih yang mencapai ketinggian antara lima hingga 10 sentimeter (sm) boleh dipindahkan ke dalam beg semaian.

Tumbuhan tongkat ali boleh ditanam sebagai tanaman selingan di dalam kelapa, kelapa sawit atau dusun buah-buahan.

Khasiat tongkat ali yang dikatakan mampu memberi kesan perubatan kepada pengguna terutama keupayaan menjadi agen penggalak seks dan meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 12:48 PM