TAN (tengah) menyerahkan replika cek kepada pemenang.
TAN (tengah) menyerahkan replika cek kepada pemenang.
Hajahfarhana Tarmudi


Mengamalkan gaya hidup sihat boleh membantu mencegah atau melambatkan serangan terhadap penyakit serius. Ia juga penting untuk memastikan ukuran kesihatan kritikal termasuk berat badan, gula dalam darah, tekanan darah dan kolesterol berada pada tahap yang sihat.

Berulang kali diperkatakan, berat badan berlebihan atau obes memberi kesan buruk kepada kesihatan secara keseluruhannya.

Malah, berat badan yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi serta jantung, antara penyebab penyakit kardiovaskular yang menjadi punca utama kematian dalam kalangan rakyat di negara ini dan seluruh dunia.

Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjalani gaya hidup sihat, Pusat Perubatan Sri Kota (Sri Kota) menganjurkan acara mencari harta karun pada Mei lalu.

Menurut Pengarah Sri Kota Tan Suet Guan, acara yang bertemakan Hunt for Health itu diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia bagi menggalakkan orang ramai bergerak aktif dan bersenam dengan konsisten.

“Langkah pertama memulakan senaman adalah perkara paling mencabar. Justeru, kami cuba membantu individu yang baru kali pertama bersenam dengan aktiviti seumpama ini.

“Jika senaman dilakukan secara konsiten, ia menunjukkan kemajuan yang sangat baik dalam mengubah gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Tan turut berkongsi mengenai tabiat pemakanan yang sihat. Tidak dinafikan rakyat di negara ini begitu sukakan makanan dan ada kalanya yang gemar makan pada lewat malam.

Ia sudah menjadi kebiasaan dalam diri sesetengah individu, namun corak pemakanan berkenaan mendedahkan kita kepada risiko mendapat pelbagai penyakit.

Ini kerana tidak mungkin kita boleh membakar kalori yang diambil secara berlebihan sebelum tidur dan akhirnya ia disimpan sebagai lemak dalam badan.

Sebaik-baiknya, makan sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu tidur dan jika mahu makan pada lewat malam pilihlah hidangan yang ringan seperti salad atau buah.

Turut disediakan sesi ceramah kesihatan mengenai obesiti dan pengurusannya. Pengunjung juga tidak melepaskan peluang membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rundingan daripada fisioterapi secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 12:16 PM