Amin Idris

Tahukah anda Ramadan boleh menjadi sumber motivasi yang sangat kuat untuk kita membina diri?

Ramadan mendidik kita supaya ada motif dalam hidup dan beraksi dengan dipandu motif berkenaan. Itulah motivasi. Sekali lagi, Ramadan membantu kita memperoleh motivasi dalam hidup.

Kehebatan al-Quran

Antaranya ialah di dalam ayat pemfarduan (kewajipan) puasa Ramadhan itu sendiri terkandung ayat psikologi positif, inspirasi dan motivasi. Jom kita lihat ayat ini:

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa, seperti diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh takwa.” (Al-Baqarah: 183)

Pendekatan psikologi

Ayat di atas menyatakan secara jelas kewajipan berpuasa. Istimewanya ialah apabila Allah menyatakan kita wajib berpuasa, ia diikuti dengan ayat: ‘seperti diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu.’

Pertama, ia membawa maksud kewajipan puasa bukanlah sesuatu yang baru. Kedua, Allah menyatakan kepada jika mereka yang terdahulu boleh puasa, kenapa kita tidak boleh? Kalau kita mengeluh dan beralasan penat, mereka terdahulu juga penat. Pepatah Arab ada menyebut, ‘kepayahan bila ditimpa ramai-ramai, maka ia menjadi ringan.’

Sebab itu bila Ramadan kita rasa mudah berpuasa kerana semua orang berpuasa termasuk mereka daripada generasi terdahulu. Begitu juga sebaliknya, kalau mereka berjaya, kenapa kita juga tidak boleh berjaya?

Begitu juga dalam hidup. Kita seharusnya sedar jika kita susah, kita tidak keseorangan. Di luar sana ada juga yang susah malah lebih berat bebannya daripada kita.

Kita juga boleh mengikut jalan orang yang berjaya. Jika mereka boleh, kita juga boleh! Dalam NLP, ini dikenali sebagai ‘the circle of excellence’.

Fokus kepada matlamat

Kemudian ayat dalam surah al-Baqarah tadi juga selain menyatakan kewajipan berpuasa, Allah SWT juga terus menggariskan matlamat puasa supaya kita ada motif dalam berpuasa. Bukan sekadar ikut-ikutan, bukan untuk dapat duit raya, bukan sebab segan kerana orang lain puasa, tetapi kerana takwa. Ia dapat dilihat pada penghujung ayat tadi iaitu ‘mudah-mudahan kamu beroleh takwa’.

Matlamat puasa ialah agar kita mencapai takwa. Ia bukan sekadar takut, tetapi ia bermaksud ‚menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan Allah. Justeru, antara kayu ukur selepas Ramadan ialah sejauhmana kita patuh kepada perintah Allah, sejauhmana juga kita takut dalam melakukan larangan Allah.

Kesimpulannya, ayuh anak muda kita ‘gempakkan’ Ramadan kali ini dengan memfokuskan masa kita untuk beribadah. Selain puasa, aktifkan diri kita menjayakan Tarawih, kerapkan membaca al-Quran, banyakkan zikir, gandakan solat sunat, bangun malam dan bermunajat khususnya ketika mencari Lailatulqadar, kawal diri daripada mengata orang dan bercakap perkara sia-sia. Mudah-mudahan kita mencapai matlamat Ramadan iaitu takwa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 7:15 AM